Yang Indah Itu Bahasa Yang Elok Itu Budi

Isnin, Mei 12, 2008

Pilihan raya buka ruang umno berubah



KUALA LUMPUR 11 Mei - Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu telah membuka ruang kepada UMNO untuk berubah selepas 62 tahun kewujudannya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perubahan yang sedang dilalui kini adalah bagi menjadikan UMNO relevan dengan suasana dan keadaan semasa.

''Keputusan pilihan raya telah membolehkan kita berubah untuk menjadi lebih baik dan menuntut semua peringkat parti menampung perubahan itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tambah Hishammuddin, banyak perkara yang dahulu tidak boleh dilakukan dari dalam parti, boleh dibuat dari luar sekarang ini.

Namun, jelasnya, perubahan yang sedang berlaku tidak sepatutnya menjejaskan asas-asas perjuangan parti, tetapi lebih kepada perubahan dalam bentuk pendekatan.

Tambah beliau, perubahan dalam UMNO kini penting kerana imej keseluruhan parti amat perlu dipulihkan dan tidak sekadar kepada sayap-sayap yang ada.

''Selaku ketua Pemuda, ini sesuatu atas bahu dan kepala saya, tetapi pada masa yang sama memerlukan penelitian struktur UMNO itu sendiri, ia tidak boleh di atas bahu dan kepala sayap semata-mata, imej bukan bergantung pada sayap, tetapi imej UMNO keseluruhan,'' katanya.

Dalam pada itu, mengulas laporan media mengatakan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan isyarat untuk bertanding salah satu daripada dua kerusi tertinggi parti, Hishammuddin menjelaskan, itu adalah keputusan peribadi Muhyiddin.

Beliau bagaimanapun berkata, seperti yang kerap ditegaskan kepada pemimpin Pemuda semua peringkat, apa jua tindakan perlu mengutamakan perpaduan parti.

''Inilah masa untuk kita pastikan kesatuan kukuh dalam amalan demokrasi UMNO yang sentiasa kita dukung dan boleh mempertahankan serta kukuhkan parti,'' jelasnya.

Mengenai kemungkinan berlaku tindakan lompat parti di kalangan para pemimpin Barisan Nasional (BN), beliau yakin ia tidak akan berlaku jika pemimpin yang ada benar-benar ikhlas dan jujur dalam perjuangan.

Sementara itu, beliau turut menegur Pengerusi DAP, Karpal Singh agar berhati-hati dalam usaha penolakan beliau terhadap hak raja-raja Melayu kerana ia bukan sahaja tidak digemari masyarakat umum, tetapi di kalangan penyokongnya sendiri.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan: