Yang Indah Itu Bahasa Yang Elok Itu Budi

Ahad, September 07, 2008

Melayu Akan Bersatu Apabila Berasa Terancam?

Lebih sebulan saya berehat tanpa menulis atau menyalin sebarang artikel ke dalam blog ini. Maklumlah sibuk dengan tugasan harian. Tambahan pula keadaan politik yang semakin kacau kebelakangan ini. Masing-masing menanti tarikh 16 September. Apakah ianya akan menjadi kenyataan atau retorik semata-mata?

Jauh di sudut hati, saya mengharapkan agar pada tarikh tersebut peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat tidak akan berlaku. Bukan bererti saya tidak menyukai Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya juga mengagumi karaktor beliau sebagai pemimpin. Terasa juga nak tengok apa yang DSAI boleh lakukan untuk Malaysia, Melayu dan Islam di tanah tumpah darah ini.

Sebenarnya monolog dalam diri saya ini lebih risau kepada sejauh manakah kuatnya kerajaan yang baru ini. Dengan kelebihan majoriti sekitar 20 kerusi bukanlah satu pakatan yang kuat. Bila-bila masa kerajaan ini boleh tumbang dengan aktiviti lompat Ahli Parlimen yang mencari kesempatan.

Apa yang membimbangkan ialah apa akan jadi kepada keadaan politik dan ekonomi negara? Bagaimana agaknya perpaduan kaum yang masih rapuh yang terbina setakat ini? Adakah rakyat tidak akan tertambah beban ekoran ketiadaan pelabur atau penarikan pelaburan asing dari dalam negara setelah begitu tertekan dengan kenaikan harga minyak?

Jika diperhatikan keputusan pilihanraya baru-baru ini jelas menun jukkan bahawa kemenangan calon-calon Pakatan Rakyat adalah kerana faktor pengundi bukan Melayu yang mengalih sokongan dari Barisan Nasional. Kemenangan mereka kebanyakannya di kawasan undi bukan Melayu menjadi penentu kemenangan mana-mana calon. Sedangkan di kawasan yang mana pengundi Melayu lebih 80% , BN masih lagi dominan, kecuali Kelantan.

Trend keluar parti dan menyertai PR juga jika dilihat lebih tertumpu kepada kaum bukan Melayu. Nama-nama seperti Tan Kee Kwong ( bekas Pengerusi Gerakan WP ), Tan Ye Kew ( bekas Timb Ketua Wanita MCA/bekas MP Kelang ), Kim Quek ( penganalisa politik ), Lim Boo Chang ( bekas ADUN Datuk Keramat ) kerap kedengaran. Nama seperti Fauzi Abdul Rahman jarang sekali mengisi dada media.

Ini tak termasuk kenyataan dan usul-usul yang berbau ugutan dari komponen BN: Gerakan dan MCA yang akan mengkaji kedudukan dalam BN dan pelbagai kenyatan yang menghiris UMNO dan orang Melayu.

Mengapa trend ini berlaku? Adakah benar BN sudah tidak mampu mentadbir dan terlalu lemah untuk diberi kepercayaan? Adakah dasar parti multi-racial seperti yang diinginkan sebilangan anak muda Melayu dan kaum bukan Melayu itu benar-benar sesuai dalam konteks negara Malaysia? Atau sebenarnya semua ini adalah jalan pintas yang lebih cepat dan paling sesuai untuk menyaksikan nama-nama kaum seperti di atas menduduki takhta TPM dan seterusnya PM?

Bila lagi pemimpin Melayu dapat bersama? Mana pergi kata-kata perangsang bahawa Melayu akan bersatu sekiranya mereka berasa terancam? Yang pasti, Melayu kini semakin hancur kerana politik kepentingan peribadi dan puak, ego dengan ideologi dan kerana dendam yang tidak terawat.

Benarkah kata-kata pemimpin PAS bahawa apa ada pada perjuangan bangsa? 16 September semakin hampir. Kalau DSAI dapat menerajui pucuk pimpinan negara sekalipun, rasanya sudah tidak lama. Selepas itu, agaknya siapa yang bakal mengganti. Adakah Dr Syed Hussin yang tahap kesihatan dan umurnya mengatasi DSAI sendiri? Atau Mungkin Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub yang terpaksa berhempas –pulas dengan Lee Boon Chye, Sivarasa Rasiah dan Jeffrey Kitingan? Ketika itu mungkin baru kita tahu langit itu tinggi atau rendah.