Yang Indah Itu Bahasa Yang Elok Itu Budi

Khamis, Mei 22, 2008

Alahai anak remaja kini

Sekali-sekala apabila memotong motosikal anak-anak muda ketika memandu kebelakangan ini, terdetik juga di hati. “Anak akukah yang menunggang atau membonceng motosikal itu?”. Terlupa pula bahawa anak-anak remajaku tiada di rumah. Mereka tinggal di asrama, masakan boleh makan angin atau merempit di jalan raya.

Macam-macam gelagat dapat dilihat yang ditonjolkan oleh anak-anak muda kita ini. Dengan rempitnya, dengan anak gadis pembonceng sambil memeluk erat pinggang si lelaki penunggangnya. Kalau masa dulu sukar untuk melihat aksi seperti ini, hari ini masyarakat sudah kalih kerana di mana-mana sahaja anggota masyarakat dapat melihat aksi ini.

Di kampung-kampung tidak terkecuali tanpa ada sesiapa yang menegurnya. Ini tak masuk lagi bab-bab keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang lain. Seolah-olah nilai-nilai yang songsang ini mula diterima. Nyatalah perubahan terlalu cepat berlaku meninggalkan zaman-zaman ketika aku masih remaja dulu.

Perasaan bimbang lega kembali. Alhamdulillah, apabila anak-anak tinggal di asrama, kurang sikit rupanya tugasku untuk memantau mereka. Aku yakin kawalan keluar-masuk memang ketat di asrama mereka.

Tentu mereka anak orang lain. Tiadakah perasaan bimbang di kalangan si ibu yang mengaku mengandungkan mereka selama sembilan bulan sepuluh hari dulu? Di mana si ayah yang diagung-agungkan sebagai ketua keluarga?

Ibu bapa hari ini seolah-olah tidak kisah ke mana anak mereka pergi, dengan siapa mereka keluar? Malah mereka dilihat lebih suka memberikan kemewahan kepada anak-anak mereka, bukan kasih sayang. Apa sahaja permintaan anak-anak dipenuhi. Kononnya kerana tidak mahu anak-anak merasai keperitan sebagai mana mereka pernah lalui semasa kecil dulu.

Soal pendidikan, dari nombor satu sehingga infiniti, dari huruf a hingga z, dari huruf alif hingga ya, mereka jarang ambil tahu. Itu sudah menjadi tugas guru.

Ibu bapa perlu sedar, bahawa tidak semua tugas mendidik dapat diambil-alih oleh guru. Lebih-lebih lagi dalam dunia yang serba moden ini, tugas guru telah disempitkan untuk mengajar akademik untuk menjawab soalan peperiksaan sahaja. Soal-soal disiplin dan moral, mereka perlu terlalu berhati-hati. Silap-silap……..

Aku yakin ibu bapa tetap merupakan faktor utama dalam menentukan pembentukan sikap anak-anak. Sebagai ibu bapa, kita perlu memberikan kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak dengan cara yang tidak merosakkan mereka. Ibu bapa perlu tahu ke mana anak-anak pergi, dengan siapa dan dengan apa mereka keluar. Ibu bapa perlu tanya apa tujuan mereka. Dengan tidak anggap mudah ini kita boleh membataskan tingkah laku mereka dan menjauhi mereka dari statistik kes-kes yang melibatkan remaja.

Paling penting, ibu bapa perlu berani menegur kesilapan anak-anak. Jangan menyimpan perasaan bimbang bahawa teguran itu akan menyinggung perasaan mereka. Sikap tidak berani menegur inilah yang menyebabkan anak-anak hilang arah dan matlamat hidup.

Kalau kita berani menegur anak-anak, barulah jiran dan sahabat akan turut sama membantu memerhatikan dan menasihatkan anak-anak kita. Jika tidak, mereka bukan sahaja tidak pandang sebelah mata, malah terus tutup mata.

Baiasakan diri untuk bertanya diri-sendiri, “ Di mana anak-anak aku ketika ini? “. Selain itu, berdoalah untuk mereka semoga Allah sentiasa memerhati dan melindungi.

Tiada ulasan: