Yang Indah Itu Bahasa Yang Elok Itu Budi

Ahad, Mac 14, 2010

Menyingkap Perasaan Guru-guru Kerdil

Kata peribahasa , tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Pada tahun ini kita dapat melihat betapa tuah orang-orang baru dalam profesion keguruan, khususnya guru-guru dalam gred Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD). Apa tidaknya, ada sebahagian guru yang baru sahaja berkhidmat selama 8 tahun dalam gred DGA29 telah dinaikkan pangkat ke gred DGA32 dan menjawat jawatan Penolong Kanan di sekolah. Ada pula guru yang berada di gred DGA32(KUP) mendapat pangkat DG34 dan menjawat jawatan Guru Besar di sekolah. Tidak pasti pula apa yang berlaku di gred Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS).

Begitu juga di setengah Bahagian Kementerian Pelajaran, di Bahagian Teknologi Pendidikan misalnya, khabarnya guru-guru yang sedang berkhidmat di bahagian ini, khususnya di Pusat Kegiatan Guru (PKG), juga akan ditawarkan jawatan yang sama. Bila perkara ini akan menjadi realiti, tidak dapat dipastikan. Proses yang akan menentukan.

Mereka ini ditawarkan ke jawatan-jawatan tersebut ekoran pencapaian cemerlang dalam Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT). Mungkin inilah senario yang berlaku di semua bahagian di Kementerian Pelajaran.

Kalau sebelum ini, guru-guru dimomokkan dengan sistem zoning yang wujud di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), nampaknya, go to hell dengan sistem yang sekian lama wujud itu. Kalau dulu kenaikan pangkat seseorang pegawai perkhidmatan perguruan perlu mendapat perakuan JPN, sekarang ini semua ini kelihatan tidak wujud lagi.

Saya pernah mendapat jawapan secara langsung daripada YB Datuk Noh Omar ketika beliau di Kementrian Pelajaran dalam satu pertemuan tertutup ketika kami cuba untuk membela beberapa orang guru yang pada hemat kami boleh dicadangkan untuk kenaikan pangkat. Tapi jawapan beliau,kami berhadapan dengan blok zoning JPN. Kami meneriima jawapan tersebut sebagai menghormati prosedur. Sekarang apa dah jadi?

Saya dapat bayangkan apa perasaan guru-guru di luar sana. Pastinya, kekecewaan menyelubungi seluruh jiwa dan tenaga khidmat mereka. Perasaan guru-guru yang sudah lebih 20 tahun dalam perkhidmatan. Bayangkan, tiba-tiba guru yang baru setahun jagung mentadbir mereka. Bagaimana pula dengan perasaan Guru-guru Penolong Kanan yang skim gajinya sudah sampai ke tahap maksima tiba-tiba terpaksa akur kepada Guru Besar yang dinaikkan pangkat dari seorang guru biasa dengan pengalaman mengurusnya tidak seberapa?

Bagaimana pula dengan Pegawai Teknologi Pendidikan di PKG yang menyandang gred DGA32(KUP) tiba-tiba terlepas peluang untuk mendapat gred hakiki kerana kenaikan pangkat diutamakan kepada Pegawai Teknologi Pendidikan yang masih berada di gred DGA29? Ada di kalangan mereka yang lebih senior dan menanggung kerja pegawai hakiki, tiba-tiba pegawai baru yang grednya lebih rendah dinaikkan pangkat dan menjadi bos mereka.

Tak tahu apa salah dan di mana silapnya. Pelbagai rasional yang tidak rasional kedengaran. Siapa peduli? Mungkinkah ada kewajarannya apabila ada sesetengah guru berpendapat BSM KPM tak ubah seperti sekumpulan robot yang sedang mengurus manusia guru?