Yang Indah Itu Bahasa Yang Elok Itu Budi

Selasa, Oktober 06, 2009

Bencana alam seperti banjir kilat, tanah runtuh dan pemanasan global adalah kesan daripada perbuatan manusia sendiri.

“Sudah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah berasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).’’ (Al-Quran:Surah Ar-Rum:41).

Kebelakangan ini, pelbagai fenomena alam yang di luar jangkaan manusia berlaku sama ada di dalam negara mahupun di luar negara. Antaranya seperti banjir kilat, tanah runtuh, pemanasan global dan sebagainya.

Negara kita sendiri dikejutkan dengan bermacam-macam tragedi yang meragut nyawa dan kebinasaan harta benda. Banjir kilat yang dialami 30 keluarga di Kampung Ismail, Seremban pada Hari Raya Aidilfitri dan Kuala Lumpur sehingga sedalam 1.8 meter pada 2007 misalnya.

Runtuhan tanah yang menimbus 14 banglo di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur seolah-olah melihat tayangan semula tragedi Highlands Tower hampir 16 tahun lalu yang jarak antaranya beberapa kilometer sahaja. Kejadian tanah runtuh di flat kos rendah Seksyen 10, Wangsa Maju tahun 2006 juga tidak kurang menggamit memori yang terlipat dalam sejarah masyarakat Malaysia.

Tragedi-tragedi ini ditambah lagi dengan pemanasan global yang mengganggu iklim mikro dan anasir-anasir alam yang tidak menentu seperti kepanasan yang melampau dan banjir di luar paras kebiasaan yang dikenali dengan La Nina dan El Nino. Banjir yang melanda Johor tahun 2007 adalah antara rentetan daripada pemanasan global.

Persoalannya mengapa tragedi-tragedi ini berlaku? Jika diteliti, faktor-faktor yang menyebabkan peristiwa ini berlaku sebenarnya berpunca daripada perbuatan manusia sendiri walaupun fenomena alam dijadikan sandaran.

Banjir kilat di Kampung Ismail, Seremban berpunca daripada aktiviti melombong pasir di Sungai Linggi yang menyekat pengaliran air sungai. Tragedi ini mungkin dapat dielakkan sekiranya aktiviti melombong termasuk jumlah pasir yang dilombong sentiasa dipantau. Malah kelulusan pemberian lesen melombong pasir itu sendiri perlu dikaji agar kesannya tidak merosakkan alam sekitar dan penduduk di hilir sungai.

Banjir kilat di Kuala Lumpur pula disebabkan oleh pembangunan pesat di hulu Sungai Kelang dan Sungai Gombak yang dibantu hujan lebat telah meningkatkan hakisan. Penyempitan sungai oleh bangunan-bangunan tinggi di Stesen LRT Masjid Jamek menyebabkan air larian tidak dapat mengalir ke laut dengan cepat. Sungai yang sepatutnya didalamkan sebaliknya dibina jeram untuk kelihatan indah, contohnya berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra.

Selain itu, Manual Saliran Mesra Alam yang diluluskan Kabinet tahun 2001 yang memperuntukkan agar pemaju menyediakan kolam takungan gagal dikuatkuasakan sepenuhnya apabila separuh daripada 20 projek pembangunan gagal menyediakan kolam takungan mengikut spesifikasi ditetapkan. Kebanyakan projek pembangunan tidak memperuntukkan tiga peratus daripada keluasan tapak binaan untuk kemudahan berkenaan bagi mengawal air.

Tragedi Highlands Tower pada 11 Disember 1993 yang tumbang seperti susunan kad, menimbusi 48 orang hidup-hidup adalah satu amaran keras tentang bahaya pembangunan perumahan di lereng bukit. Apa yang jelas tiada siapa yang belajar daripada tragedi itu hingga berulang lagi di Bukit Antarabangsa. Aliran air bawah tanah yang sebahagiannya berpunca daripada tiada penyelenggaraan kerosakan paip dan sistem saliran menyebabkan runtuhan tanah dan bangunan kediaman.

Selain itu, pemanasan global yang meningkatkan suhu dunia
didapati 98% berpunca daripada pelepasan karbon dioksida akibat pembakaran fosil dan perubahan penggunaan tanah. Kesan rumah hijau lebih hebat dan iklim dunia akan berubah secara mendadak.

Bumi pada tahun 2099 dijangka akan menjadi seperti Marikh dengan suhunya kira-kira 400°C dengan dilitupi 90% karbon dioksida. Ketika itu bumi hampir tiada kehidupan. Manusia dan tamadunnya akan pupus sebagaimana pupusnya dinosaur.

Paras laut dijangka meningkat 7.0 meter. Kawasan rendah seperti Kuala Muda (Kedah) dan Kelantan akan ditenggelami air. Banjir lebih banyak melanda kerana hujan lebih banyak turun sewaktu monsun timur laut..

Kesedaran rakyat Malaysia dan dunia amnya sukar ditingkatkan. Kejadian tsunami 2004 dan banjir besar di Johor adalah pengajaran terbaik. Setelah kita menyaksikan pelbagai fenomena dan insiden yang berlaku, sedarlah bahawa bumi ini sudah menjangkau usia tuanya dan perlu dipelihara agar terus mesra untuk kesinambungan hidupannya.