Yang Indah Itu Bahasa Yang Elok Itu Budi

Isnin, Julai 21, 2008

Pertemuan PAS-UMNO okay tapi PAS kena hati-hati

Dilulus terbit pada Monday, July 21 @ 07:03:08 MYT oleh SongkokPutih

Artikel Pendek Oleh Tarabulsi_2008

"
Seperti yang telah disahkan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, PAS memangnya telah membuat pertemuan dengan UMNO bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu. Ustaz Abdul Hadi menegaskan bahawa PAS bersedia bagi menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat Islam dan bangsa Melayu di Malaysia.

Saya sokong langkah PAS yang positif ini kerana umat Islam dan bangsa Melayu kini menghadapi tekanan dan perlu bersatu. Hanya PAS perlu hati-hati sikit dengan UMNO kerana UMNO telah sekali lagi menunjukkan sifat jahatnya dengan tuduhan LIWAT II.


PKR bersama-sama DAP tidak menerima politik negara yang berteraskan kepimpinan Melayu dan tidak menerima agama Islam itu agama rasmi negara. Malah dari segi agama, DAP telah menunjukkan belangnya sebagai extension PAP Singapura apabila mengesa azan itu diperlahankan. Maka PAS tidak boleh muzakarah dengan PKR dan DAP yang tolak Islam itu.

DAP dan PKR semakin berani mempersoalkan kedudukan orang Melayu dan kedudukan Islam di negara ini. DAP terutamanya cuba eksploitasikan sepenuhnya perpecahhan di kalangan orang Melayu. Maka muzakarah PAS dengan UMNO untuk kebaikkan umat Islam dan bangsa Melayu amat perlu diteruskan.

Kalau PKR boleh bertemu dengan orang-orang UMNO dan BN, kenapa pula PAS tidak boleh bertemu dengan orang-orang UMNO dan BN?

Niat PKR bertemu dengan UMNO-BN adalah untuk pecahbelahkan UMNO-BN dengan menghasut MP BN lompat parti. Disebaliknya pula, PAS berniat baik dalam mengadakan muzakarah dengan UMNO, iaitu bagi membincangkan kebaikan umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini. Niat PAS itu baik, dan PAS akan dilindungi Allah SWT jika UMNO tidak jujur.

Saya harap PAS akan teruskan muzakarah dengan UMNO tersebut. Memang perlu kita bincangkan dengan UMNO mengenai kebaikan umat Islam dan bangsa Melayu. Bangsa kita hadapi tekanan. Agama Islam kita hadapi tekanan yang lebih teruk lagi kerana tekanan bukan saja dari kaum kafir di dalam negara, tekanan terhadap Islam bukan saja datang dari DAP dan PKR, tetapi tekanan terhadap Islam turut datangnya dari luar.

Berdoa' kita kepada Allah SWT agar Allah SWT lindungi agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini dari musuh-musuh yang nyata atau yang tersembunyi.

Allahu Akbar !!! Allahu Akbar !!! Allahu Akbar !!!

Tarabulsi
21 Jukai 2008

Isnin, Julai 14, 2008

Dimensi baru politik Melayu

Akhirnya desas-desus yang mengatakan bahawa ada perjumpaan atau perbincangan di antara pemimpin PAS dengan pemimpin UMNO terungkai sudah apabila Perdana Menteri dan Tuan Guru Presiden PAS sendiri mengesahkan perkara tersebut. Soal individu tertentu atau kumpulan tertentu yang mengadakan pertemuan tersebut tidak timbul. Pastinya pertemuan itu mendapat restu daripada pucuk pimpinan kedua-dua parti itu sendiri.

Setelah beberapa desakan timbul dari NGO Melayu dan ulama-ulama bukan partisan yang menuntut supaya adanya usaha untuk menyatukan parti-parti Melayu dan Islam, akhirnya kedua-dua belah pihak mula membuka mata.

Dalam menegakkan perjuangan agama dan umat ini, usahlah PAS mendabik dada mengatakan bahawa parti itu semakin kuat dan mula diterima oleh masyarakat Malaysia
dan pada masa yang sama beranggapan bahawa UMNO parti yang menunggu masa untuk ditalkinkan. Begitu juga dengan UMNO tidak boleh menganggap bahawa kekuatan parti itu mula meningkat dengan perkembangan mutakhir ini. Kedua-dua parti ini perlu memandang lebih jauh ke depan dan melihat pelbagai bentuk ancaman yang mungkin boleh mengganggu gugat ummah.

PAS perlu sedar bahawa perjuangan mereka untuk menegakkan negara Islam tidak akan ke mana apabila berada di dalam Pakatan Rakyat. Lebih-lebih lagi kenyataan demi kenyatan yang dikeluarkan oleh sahabat-sahabat mereka dari PKR dan DAP yang dengan jelas menolak pembentukan negara Islam. Keadaan menjadi lebih rumit apabila kehadiran PAS hanya dianggap sebagai melukut di tepi gantang dan banyak tindakan yang diambil tanpa mengambil kira sensitiviti ahli dan penyokong PAS menyebabkan hati mereka semakin membengkak. Sedangkan UMNO hanya sekadar berdolak-dalik dengan alasan masa dan kemampuan.

Apa lagi yang umat Melayu boleh banggakan selain daripada penyatuan dan kerjasama kedua-dua parti Melayu dan Islam ini. Satu parti berjuang untuk memartabatkan bangsanya manakala satu lagi parti yang berjuang untuk mendaulatkan Islam. Bayangkan betapa indahnya jika kedua-dua parti itu dapat menjalinkan kerjasama.

Ini adalah masa yang paling sesuai bagi PAS untuk mengekalkan kuasa yang ada dan menterjemahkan perjuangan mereka dalam kerajaan Persekutuan. Mungkin PAS boleh meminta agar kerusi yang telahpun menjadi milik mereka supaya terus dikekalkan. Kalau ada perubahanpun, mungkin hanya dalam peratus yang amat kecil. Sedangkan pada masa yang sama PAS boleh meminta untuk mendapatkan peruntukan kerusi yang baru di tempat-tempat lain.

Impak yang paling besar dalam kerjasama ini ialah pembentukan dua buah kerajaan negeri Melayu-Islam yang baru iaitu di Selangor dan Perak. Dengan jumlah kerusi yang dimiliki oleh kedua-dua parti tersebut, mereka mampu membentuk sebuah kerajaan baru di kedua-dua negeri itu tanpa mengharapkan ihsan orang lain.

Mesej yang paling besar kepada kerjasama ini ialah kita dapat buktikan bahawa orang-orang Melayu-Islam masih lagi boleh bersatu jika mereka berasa terancam. Allahu Akbar. Semoga akan ada siri-siri pertemuan di antara pemimpin kedua-dua parti tersebut. Akhirnya impian kebanyakan rakyat Melayu yang ingin melihat Melayu bersatu menjadi kenyataan. InsyaAllah.

Isnin, Julai 07, 2008

PERSAUDARAAN ISLAM

Nabi Muhammad s. a. w pernah bersabda yang bermaksud:

"Tidak sempurna iman seseorang itu selagi ia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikianlah keindahan Islam. Jauh dari unsur mementingkan diri atau nafsi-nafsi sehinggakan kasih sesama saudara diletakkan sebagai syarat kesempurnaan iman.

Untuk menyahut seruan ini, cuba kita praktikkan perkara di bawah. Semoga dengan cara ini ukhwah yang terjalin akan bertambah kukuh dan manis.

1. Nyatakan rasa kasihmu terhadap saudaramu.

Sabda Rasulullah:

"Jika seseorang itu kasih akan saudaranya, beritahulah kepadanya bahawa dia kasih kepadanya."

(Riwayat Abu Daud dan Tarmidzi)

2. Mintalah supaya saudaramu mendoakanmu sebelum berpisah. Umar al-Khattab r. a berkata, "Saya minta izin kepada baginda Rasulullah s. a. w untuk mengerjakan umrah. Baginda Rasulullah s. a. w membenarkan dan berpesan; "Jangan lupa berdoa untuk kami bersama."

(Riwayat Abu Daud dan Tarmidzi).

3. Segeralah bersalam apabila bertemu.

Sabda Rasulullah s. a. w, "Tiadalah dua orang muslim yang bertemu lalu bersalaman melainkan dosa mereka akan diampunkan sebelum berpisah."

4. Bermanis muka apabila bertemu

"Janganlah kamu memandang hina terhadap kebaikan walaupun kecil, sekalipun bermanis muka ketika bertemu dengan kawan-kawan".

5. Memberi ucapan tahniah kepada saudaranya dan menyukakan hatinya.

"Siapa yang menemui saudaranya dengan apa-apa yang menyukakannya, nescaya Allah akan menyukannya pada hari kiamat."

6. Laksanakan tanggungjawab persaudaraan dengan sempurna.

Daripada Abu Hurairah r. a, Rasulullah s. a. w bersabda, maksudnya: "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu, satu kerumitan daripada kerumitan Akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutupkan keaibannya di dunia dan akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."

Abang anggap MB Perak ibarat kacang lupakan kulit

Abang Menteri Besar Perak, Fadhil Jamaluddin menganggap adiknya, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar tidak layak menjadi menteri besar bagi kerajaan campuran Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang.

Menurut beliau, sebagai seorang abang sulung, beliau amat berharap adiknya itu sedar tentang apa yang berlaku sekarang dan mengajaknya supaya merenung semula sejarah kehidupan silam mereka sekeluarga.

Kata beliau, sebagai seorang Islam, adiknya itu sepatutnya mengenang budi dan jasa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah membantu menyediakan pendidikan kepada adik beradiknya hingga ke pusat pengajian tinggi di luar negara.

Katanya, tanpa bantuan biasiswa kerajaan BN yang memperjuangkan dasar pelajaran bagi membantu kaum Melayu, sudah tentu adiknya itu tidak mampu menjejakkan kaki ke menara gading.

''Kami daripada sebuah keluarga miskin dan bapa kami hanyalah seorang penoreh getah, jika tidak ada biasiswa yang disediakan kerajaan BN macam mana kami 14 beradik hendak bersekolah apatah lagi hendak masuk universiti di luar negara.

''Jika hendak kira pendapatan bapa sebagai penoreh getah yang mempunyai 14 orang anak memang sukar bagi kami untuk bersekolah tetapi alhamdulillah... 11 orang daripada adik beradik kami berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

''Parti UMNO yang menjadi tunjang kepada BN sebenarnya yang telah membantu kami, perjuangan parti itu membela orang Melayu telah membolehkan ramai adik beradik saya masuk ke universiti," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri Program Perhimpunan Melayu Perak anjuran Gerakan Belia 4B Perak di sekolah Menengah Teknik Padang Rengas di sini hari ini.

Mohammad Nizar merupakan seorang jurutera perunding lulusan Aston University of Science and Technology di Birmingham, England.

Mengulas lanjut, Fadhil yang juga pensyarah Institut Perguruan Darul Aman Jitra, Kedah berkata, orang Melayu sepatutnya sedar tentang perjuangan UMNO dan BN yang sehingga kini telah berjaya melahirkan ramai daripada kalangan bangsanya menjadi orang berjaya.

Justeru, jelas beliau, adalah tidak manis sekiranya seseorang yang telah berjaya hasil daripada perjuangan UMNO dan BN akhirnya bertindak menentang kerajaan pula.

''Saya berasa bangga di atas usaha kerajaan BN yang memerintah negara selama 50 tahun kerana berjaya melahirkan anak-anak Melayu yang berjaya dalam pelbagai bidang.

''Mereka yang berjaya itu termasuklah adik saya yang kini menjadi Menteri Besar Perak. Jadi saya rasa semua yang berjaya termasuk adik saya tidak boleh menafikan perjuangan UMNO dan BN selama ini," ujar beliau.

SokonganJusteru, Fadhil menyeru semua pihak terutama sekali adiknya itu supaya memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada pemerintahan kerajaan BN yang kini diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, perjuangan UMNO tetap berpegang pada Islam dan memperjuangkan hak orang Melayu dan tidak pernah sama sekali mengenepikan hak bangsa-bangsa lain.

''Saya kesal apabila pada masa ini ramai yang telah berjaya seakan-akan melupakan jasa pemimpin pelbagai bangsa terdahulu yang sanggup bersatu dan bersetuju dengan kontrak sosial untuk mencapai kemerdekaan negara.

''Mereka ini macam orang tak tahu sejarah kerana saya dapat lihat pihak pembangkang dengan lantang sengaja mengapiapikan soal ketuanan Melayu dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu yang telah tercatat di dalam Perlembagaan," katanya.

Kata Fadhil, beliau difahamkan bahawa kerajaan negeri Perak yang dipimpin oleh adiknya dari parti Pas telah menandatangani 'Perjanjian Pangkor II' dengan DAP yang antara isi kandungannya melarang menteri besar menyebut negeri Perak diperintah oleh lslam.

Difahamkan, dalam perjanjian itu Mohammad Nizar sebagai menteri besar juga tidak boleh menyebut terma yang berkaitan dengan Pas atau bahasa Arab seperti Hudud, Qisas dan sebagainya.

Katanya, ini akan mengubah persepsi orang Melayu terhadap kontrak sosial yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati kalangan masyarakat lslam dan juga orang Melayu.

Beliau tidak menafikan perjanjian tersebut jika ditunaikan oleh pemerintahan Pakatan Rakyat di Perak bakal menimbulkan implikasi besar dan akan mewujudkan penentangan besar-besaran oleh orang Melayu.

''Jadi saya harap UMNO Perak bangkit bagi mengembalikan maruah bangsa dan agama lslam yang kini cuba diperalatkan di bawah 'Perjanjian Pangkor II' kerana ia jelas bertentangan dengan konsep perkongsian kuasa yang diamalkan selama ini," katanya.

Difahamkan, DAP telah meminta Nizar menandatangani surat 'Perjanjian Pangkor II' sebelum bersetuju melantik wakil Pas itu menjadi Menteri Besar Perak.-UM