Yang Indah Itu Bahasa Yang Elok Itu Budi
Memaparkan catatan dengan label umno berubah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label umno berubah. Papar semua catatan

Isnin, Jun 23, 2008

Siapa peduli?.....

Kebelakangan ini, begitu kerap agen-agen kempen dan calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding masuk dan keluar kampung. Mereka ini membawa hasrat untuk bertanding di pelbagai lapisan peringkat jawatan dalam UMNO. Maklumlah bermula Julai nanti, persidangan di peringkat cawangan akan berlangsung.

Warung-warung kopi sedang diceriakan dengan kempen-kempen pemain politik. Agen-agen dan calon-calon begitu ghairah berkempen untuk melebarkan pengaruh dan mendapatkan pencalonan dalam persidangan cawangan nanti. Lebih-lebih lagi MT telah menetapkan larangan mengadakan sebarang majlis jamuan dan keramaian selepas 1 Julai nanti. Kesempatan yang ada ini digunakan dengan sebaik mungkin bagi memastikan calon-calon akan mendapat pencalonan yang secukupnya dalam memastikan mereka layak bertanding. Tak kurang juga mereka yang menawarkan diri di peringkat MT dan sayap=sayap tertinggi parti.

Memang dalam tempoh sebulan lalu, kempen-kempen ini mula kelihatan begitu hebat dan sengit. Warung-warung kopi dipenuhi oleh pemain politik sampai pagi. Rumah-rumah pemimpin di peringkat cawangan pula sentiasa dikunjungi. Walau bagaimanapun, sebenarnya kempen-kempen ini telah bermula sejak selepas PRU-12 baru-baru ini. Malah ada yang mengambil kesempatan dengan cara yang tidak amanah dengan memburuk-burukkan calon sendiri dan berkempen untuk tidak mengundi calon-calon parti semasa PRU-12 lagi.

Semasa Parlimen dibubarkan baru-baru ini, dapat dilihat dengan jelas tiada gerakan kempen secara bersungguh-sungguh untuk calon UMNO. Sampailah kepada hari penamaan calon, masih belum ada tanda-tanda dan semangat bekerja untuk UMNO berbanding dengan semangat yang ditunjukkan oleh penyokong-penyokong PAS.

Bilik Gerakan tidak dibuka. Jika adapun dibuka dalam keadaan tidak bersedia. Jentera-jentera kanan entah di mana, maklumat-maklumat berkaitan pilihanraya tidak dikemas kini. Logistik terlalu lembab. Kalaulah pemimpin-pemimpin UMNO membuat persiapan lebih awal dan bersedia menghadapi peperangan sebagaimana mereka bekerja untuk pemilihan di peringkat bahagian, mungkin keputusan PRU-12 lain jadinya.

Tapi itulah hakikatnya. Jawatan di peringkat bahagian jauh lebih penting bagi mereka berbanding kemenangan dalam pilihanraya. Jauh sekali untuk memikirkan nasib umat Melayu yang sedang diasak hari ini. Apa lagi untuk memikirkan nasib generasi untuk sepuluh atau lima belas tahun akan datang.

Di mana silapnya? Siapa peduli Melayu hilang negeri? Siapa peduli ada MP tolak jawatan timbalan menteri? Siapa peduli dengan tuntutan IFC? Siapa peduli Theresa Kok minta wujudkan perkampungan cina sendiri walaupun ketika berada di bandar-bandar negara inipun sudah seolah-olah berada di Beijing? Siapa peduli Selangor dapat kandang babi yang diternak untuk dieksport ke luar negeri? Siap peduli Ronnie Liu minta supaya peruntukan agama diagihkan sama rata baru-baru ini? Siapa peduli seruan supaya pemimpin-pemimpin Melayu duduk semeja untuk berbincang masa depan umat yang disarankan mufti? Siapa peduli Paklah nak dibawa usul undi tak percaya oleh parti Yong Teck Lee?

UMNO perlu kembali menjadi parti orang kampung bukan parti kampungan atau mungkin terlalu elit seperti hari ini. Kembali kepada corak dan iltizam perjuangan orang-orang dahulu. Hayati roh perjuangan mereka. Rakyat terbanyak ingin melihat mereka menjadi pemimpin rakyat di semua peringkat, bukan sahaja di pusat, malah di akar umbi. Kita bimbang undi yang terlepas sehinggakan Melayu kehilangan negeri tak akan dapat kembali. Kalau PRU-12 Melayu sudah kehilangan negeri, PRU-13 nanti harapnya dapat kembali beberapa negeri. Jangan pula ada tambahan lagi.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak undi lima tahun pulak baru peluang diberi.

Isnin, Mei 12, 2008

Pilihan raya buka ruang umno berubah



KUALA LUMPUR 11 Mei - Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu telah membuka ruang kepada UMNO untuk berubah selepas 62 tahun kewujudannya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perubahan yang sedang dilalui kini adalah bagi menjadikan UMNO relevan dengan suasana dan keadaan semasa.

''Keputusan pilihan raya telah membolehkan kita berubah untuk menjadi lebih baik dan menuntut semua peringkat parti menampung perubahan itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tambah Hishammuddin, banyak perkara yang dahulu tidak boleh dilakukan dari dalam parti, boleh dibuat dari luar sekarang ini.

Namun, jelasnya, perubahan yang sedang berlaku tidak sepatutnya menjejaskan asas-asas perjuangan parti, tetapi lebih kepada perubahan dalam bentuk pendekatan.

Tambah beliau, perubahan dalam UMNO kini penting kerana imej keseluruhan parti amat perlu dipulihkan dan tidak sekadar kepada sayap-sayap yang ada.

''Selaku ketua Pemuda, ini sesuatu atas bahu dan kepala saya, tetapi pada masa yang sama memerlukan penelitian struktur UMNO itu sendiri, ia tidak boleh di atas bahu dan kepala sayap semata-mata, imej bukan bergantung pada sayap, tetapi imej UMNO keseluruhan,'' katanya.

Dalam pada itu, mengulas laporan media mengatakan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan isyarat untuk bertanding salah satu daripada dua kerusi tertinggi parti, Hishammuddin menjelaskan, itu adalah keputusan peribadi Muhyiddin.

Beliau bagaimanapun berkata, seperti yang kerap ditegaskan kepada pemimpin Pemuda semua peringkat, apa jua tindakan perlu mengutamakan perpaduan parti.

''Inilah masa untuk kita pastikan kesatuan kukuh dalam amalan demokrasi UMNO yang sentiasa kita dukung dan boleh mempertahankan serta kukuhkan parti,'' jelasnya.

Mengenai kemungkinan berlaku tindakan lompat parti di kalangan para pemimpin Barisan Nasional (BN), beliau yakin ia tidak akan berlaku jika pemimpin yang ada benar-benar ikhlas dan jujur dalam perjuangan.

Sementara itu, beliau turut menegur Pengerusi DAP, Karpal Singh agar berhati-hati dalam usaha penolakan beliau terhadap hak raja-raja Melayu kerana ia bukan sahaja tidak digemari masyarakat umum, tetapi di kalangan penyokongnya sendiri.

Sumber: http://www.utusan.com.my/