Jika keputusan PRU-12 pada 8 Mac 2008 lalu dianggap oleh Dato’ Dr Tan Seng Giaw, Timbalan Pengerusi DAP yang juga MP Kepong sebagai tsunami kepada UMNO yang menjadi tonggak kerajaaan Barisan Nasional, kini kemelut yang melanda UMNO dianggap sebagai gempa bumi yang amat dahsyat oleh Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang. Ini adalah ekoran perisytiharan Tun Dr Mahatihir Mohamad, mantan PM keluar dari UMNO.
Kita telah melihat berbagai-bagai reaksi daripada para pemimpin sama ada dari UMNO sendiri mahupun dari kalangan pembangkang. Dato’ Tuan Guru Menteri Besar Kelantan menagnggap bahawa beliau adalah orang paling gembira dengan keputusan Tun itu. Malah beliau mempelawa Tun untuk menyertai PAS dan berjuang bersama mereka.
MP UMNO sendiri telah mengambil pendirian menyokong kepimpinan Pak Lah dalam satu pertemuan singkat sewaktu rehat sidang Parlimen sehari selepas pengumuman Tun keluar dari UMNO. Melalui media arus perdana pula, berbagai-bagai komen telah diberikan oleh kebanyakan MT UMNO yang bergelar menteri.
Jika diteliti komen-komen mereka ini, tidak ada satupun komen yang menampakkan kegusaran mereka impak dari berundurnya Tun dari UMNO. Cuma komen Dato’ Seri Muhyiddin Yassin yang menampakkan sedikit kebimbangan. Pemimpin-pemimpin lain cuba meneutralkan keadaan dengan komen seolah-olah isu ini telah menjadi tradisi yang tersimpan dalam lipatan sejarah negara. Ada juga yang memulangkan paku buah keras kepada Tun.
Perlu diingat, isu-isu seperti ini tidak boleh dianggap mudah oleh barisan kepimpinan UMNO. Kita boleh menjadikan PRU-12 sebagai iktibar yang paling hampir dan masih hangat membadai UMNO. Untuk terus survival, UMNO perlu meyakinkan rakyat bahawa UMNO masih diterima oleh semua pihak sama ada ahli atau bukan ahli, sama pemimpin atau bekas pemimpin atau kawan mahupun lawan.
UMNO perlu bijak mengurus isu-isu seumpama ini. Perlu ada gerakan-gerakan untuk mengatasi masalah ini dan mengelakkannya terus berulang selain daripada komen-komen yang lebih untuk menyedapkan hati sendiri.
Adalah mustahil Tun akan menyertai mana-mana parti politik selain UMNO. Walau bagaimanapun, sementara Tun masih berada di luar UMNO, kita perlu melihat apa yang akan terjadi kepada penyokong-penyokong dan kalangan rakyat biasa yang taksub dengan idea dan kepimpinan beliau dulu. Ke manakah haluan sokongan mereka ini jika tidak kepada pembangkang?
Mungkin pada waktu ini kita tidak dapat melihat kocakan air walaupun dalam gelas. Tapi UMNO mesti sedar bahawa ia boleh menjadi barah yang cukup kronik apabila tiba pilihanraya akan datang. Air yang tidak berkocak itu boleh menjadi gelombang yang cukup besar untuk membadai UMNO sekali lagi.
Siapa sangka UMNO/BN akan tewas di lima negeri baru-baru ini. Tapi jangan pula ada kalangan pemimpin UMNO mengulangi ungkapan yang sama selepas PRU-13 nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan