Yang Indah Itu Bahasa Yang Elok Itu Budi

Rabu, Disember 02, 2009

Kemudahan Sokongan Dalam PPPJJ

Pengenalan
Dalam usaha untuk menjadi sebuah negara maju melalui Wawasan 2020, pendemokrasian pendidikan telah dijadikan sebagai salah satu matlamat pendidikan negara. Sehubungan dengan itu juga, program PJJ telah diperkenalkan untuk meningkatkan golongan intelektual dan elit selain daripada pendidikan secara konvensional.

Program Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ)
Pelaksanaan program PJJ dipelopori oleh negara-negara maju di Eropah dan Amerika Utara Ia kemudiannya berkembang hampir ke seluruh dunia disebabkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam memajukan bangsa dan negara di mana kualiti program PJJ adalah setanding dengan pendidikan secara konvensional. Di Malaysia, program PJJ telah dimulakan oleh Universiti Sains Malaysia semenjak tahun 1971 lagi dan diperkenalkan secara rasminya di universiti-universiti tempatan yang lain pada November 1994. Program ini merupakan satu program yang terulung yang menawarkan pengajian jarak jauh di Malaysia. PJJ juga merupakan satu alternatif kepada program pendidikan secara konvensional demi memberi peluang yang lebih luas sesuai dengan konsep pendidikan berterusan. Melalui program PJJ ini, pelajar berada dalam kelas tanpa sempadan. Malah mereka dipisahkan secara fizikal oleh suatu jarak yang nyata dengan pensyarah.


Objektif Pendidikan Jarak Jauh
Program PJJ telah ditawarkan oleh kebanyakan institusi pengajian tinggi bagi memenuhi beberapa tujuan,. Antaranya ialah untuk embolehkan pelajar-pelajar dewasa, yang tidak berpeluang meneruskan pendidikan tinggi mereka oleh sebab-sebab tertentu, mengikuti pengajian tinggi sehingga memungkinkan mereka memperolehi suatu kelayakan ijazah. Mereka mungkin terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang mmpunyai kelayakan tetapi tidak berpeluang untuk meneruskan pengajian ketika usia mudanya. Program PJJ juga bertujuan untuk mengurangkan jurang peluang-peluang pendidikan di antara berbagai kaum di negara ini dan membawa usaha-usaha pendidikan ke kawasan-kawasan yang kurang maju dari segi ekonomi. Jika diperhatikan, sebelum pendidikan mengalami proses globalisasi, golongan pelajar yang tinggal di pedalaman kurang mendapat pendedahan mengenai peluang-peluang yang ada dalam system pendidikan. Semua ini berlaku kerana terhadnya proses dan sumber penyebaran maklumat. Minat mereka yang ada dapat dikembangkan dan diteruskan dalam dunia pendidikan jarak auh hari ini.

Selain itu, PJJ dapat meningkatkan kadar pengeluaran pekerja-pekerja yang terlatih dan seterusnya memajukan daya pengeluaran mereka yang telahpun mempunyai pekerjaan dengan mengemaskini pengetahuan dan kebolehan mereka.Natijahnya, kejayaan mereka akan melahirkan gunatenaga profesional yang mencukupi bagi memenuhi wawasan negara dan situasi ini boleh mengelakkan majikan-majikan daripada menghadapi kekurangan tenaga mahir yang boleh membantu perjalanan sesebuah organisasi. Ini boleh dicapai kerana program-program pengajian ini boleh diikuti oleh para pelajar tanpa meninggalkan pekerjaan masing-masing iaitu belajar sambil bekerja.

Perbezaan Program PPJJ Dengan Program Sepenuh Masa
Pelajar Terpisah Secara Nyata Dengan Pensyarah dan Rakan Sekuliah
Jika kita melihat kepada objektif program PJJ diperkenalkan, kita pastinya dapat menyelami perbezaan di antara program tersebut dengan program sepenuh masa. PJJ sebenarnya telah lama wujud di mana penyampaian proses pengajaran dan pembelajaran disampaikan secara jarak jauh, yang mana ia berbeza dengan pendidikan bersemuka. Ini kerana, pendidikan bersemuka dibuat dalam satu masa dan pada satu tempat yang sama di mana ia mempunyai pelajar dan pengajar. Program PJJ pastinya meletakkan pelajar dengan pensyarah dan pelajar lain dalam keadaan terpisah.

Tidak dapat disangkal lagi bahawa semakin luas jarak yang wujud dalam perhubungan PJJ, semakin kompleks dan mencabar peranan pensyarah dalam menggunakan segala sumber media komunikasi yang ada untuk menyampaikan maklumat kepada pelajar. Pelajar PJJ jika dibandingkan dengan pelajar biasa mempunyai interaksi yang minimum bukan sahaja dengan pensyarah, tetapi juga dengan rakan sekuliah.

Pelajar-pelajar ini pula biasanya terdiri daripada orang yang sudah bekerja terutamanya profesion perguruan dan orang yang sudah berkeluarga sedangkan pelajar-pelajar sepenuh masa adalah terdiri daripada pelajar-pelajar lepasan sekolah. Oleh itu, sebagai pelajar yang sudah berkerjaya dan sudah berkeluarga, mereka perlu memperuntukkan masa untuk belajar secara sendirian, menyiapkan kerja-kerja kursus dan perlu mengorbankan cuti hujung minggu untuk menghadiri kuliah. Oleh sebab itu, peruntukan masa yang khas dan penyusunan jadual yang baik di antara kerjaya, keluarga dan pelajaran amat perlu supaya seseorang itu berjaya di dalam pelajaran bagi yang mengikuti pendidikan secara jarak jauh.

Tanggungjawab Pembelajaran Dipindahkan Kepada Pelajar Sendiri
Pembelajaran kendiri boleh dilihat sebagai usaha pembelajaran yang dilakukan oleh seseorang pelajar tanpa ada bimbingan terus daripada guru. Dalam kata lain pembelajaran kendiri bermaksud segala aktiviti pelajar dilakukan sendiri oleh pelajar tanpa pertolongan langsung daripada seseorang. Apabila pelajar bersendirian, bermakna pelajar perlu melakukan aktiviti secara kendiri atau tidak di bantu ole guru atau lain-lain pelajar secara berdepan. Ia juga memberi beberapa kelonggaran dan kebebasan kepada pelajar dalam memilih objektif pembelajaran, cara untuk belajar dan penilaian kepada pembelajaran. Pelajar juga bebas untuk menentukan masa dan tempat untuk belajar.

Selain itu, perbezaan di antara program sepenuh masa dan program PJJ adalah dari segi penyampaian pengajaran dan cara pengendaliannya. Kaedah yang digunakan dalam PJJ membenarkan penggunaan bahan-bahan cetak dan bahan-bahan pelbagai media (multimedia) pendidikan sebagai bahan penyampai daripada intitusi kepada pelajar. Ini kerana, para pelajar perlu belajar sendiri dan institusi hanya menyediakan bantuan yang paling minimum sama ada bantuan dari segi kemudahan akademik atau khidmat sokongan yang lain.

Jenis-jenis Kemudahan Sokongan
Sebagai pelajar yang terpisah dalam jarak yang nyata dan jauh dengan pensyarah dan rakan-rakan pelajar yang lain, kemudahan sokongan amat diperlukan. Melalui media dan kemudahan sokongan ini, pelajar dapat berinteraksi antara satu sama lain dalam mendepani cabaran pembelajaran mereka. Mungkin penyediaan kemudahan sokongan ini memerlukan kos yang tinggi. Walau bagaimanapun ia perlu diwujudkan demi kepentingan dan kebajikan para pelajar.
Dalam menghadapi kepelbagaian masalah untuk meneruskan pengajian seperti kekurangan masa belajar kerana telah bekerja, kekangan keluarga, komitmen kewangan dan sebagainya menjadi faktor penting kepada keperluan kemudahan dan khidmat sokongan. Khidmat dan kemudahan ini meliputi bantuan dari segi akademik dan juga peribadi pelajar. Antara kemudahan sokongan yang diperlukan oleh pelajar PJJ ialah seperti seperti bahan cetak (modul, buku, jurnal, nota dan majalah) dan bahan bukan cetak (cakera padat, disket, pita rakaman audio dan video). Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, media komunikasi elektronik (internet, sidang video, sidang audio, faks, telefon, dan sebagainya) dan penubuhan pusat wilayah juga memainkan peranan yang amat berkesan dan popular di kalangan pelajar jarak jauh.

Selain daripada itu terdapat juga alat sokongan yang lain seperti kewujudan bahan bacaan di mana ia dijadikan panduan utama bagi pelajar PJJ dan alat ini juga merupakan media paling lama digunakan. Televisyen dan audio kaset juga digunakan sebagai alat sokongan dalam sistem ini. Audio kaset digunakan adalah bertujuan supaya pelajar yang tidak ada masa untuk ke kuliah boleh mendengar syarahan mata pelajaran yang telah dimuatkan ke dalam pita rakaman ini di mana dan tempat yang menjadi pilihan mereka.


Kos; Sekilas Pandang
Pada asasnya kos yang dibelanjakan untuk pengurusan dan khidmat sokongan sistem PJJ agak lebih menjimatkan berbanding dengan kos untuk sistem bersemuka.Lebih-lebih lagi pelajar PJJ boleh menggunakan kemudahan sedia ada. Walau bagaimanapun, dengan naik tarafnya sistem ini kepada sebuah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, khususnya di Universiti Sains Malaysia, kos untuk sistem PJJ ini semakin meningkat. RPPPJJ setelah dinaik taraf sebagai sebua Pusat memerlukan pensyarah terasnya sendiri. Keadaan ini ditambah lagi dengan perkembangan penulisan bahan pembelajaran.
Kos pelajar PJJ berbanding dengan kos pelajar bersemuka daripada rancangan yang sama telah meningkat dari 1/5 pada tahun 1981(Ali,1981) kepada 1/3 dalam tahun 1987.

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Kos PJJ
Bilangan Pelajar
Bilangan pelajar yang menyertai sesuatu RPPPJJ sebenarnya boleh mempengaruhi kos pengurusan. Jika ramai pelajar yang menyertai program ini, maka kos yang ditanggung semakin kurang. Sebaliknya jika pelajar kurang menyertai, kos yang ditanggung semakin tinggi. Hal yang demikian kerana dengan jumlah pelajar yang ramai, sedikit-sebanyak kos per pelajar akan menurun apabila perbelanjaan dapat ditampung oleh pelajar yang ramai.

Pembangunan Rancangan dan Penghasilan Bahan Pembelajaran
Universiti yang menganjurkan PJJ memainkan peranan sebagai pengeluar yang berfungsi untuk membangunkan rancangan dan menghasilkan bahan pembelajaran. Demi kepentingan pelajar, rancangan sentiasa dinaik taraf untuk kepentingan pelajar seperti bilangan pensyarah teras dan kemudahan-kenudahan asas yang lain. Bahan-bahan pembelajaran pula perlu dihasilkan sebanyak dan sebaik mungkin untuk rujukan dan kegunaan pelajar secara berkesan. Semua ini memerlukan kos yang tinggi, khususnya untuk jangka masa pendek.
Di samping itu, universiti juga berperanan sebagai penyampai yang berfungsi untuk menawarkan rancangan dan bahan pembelajaran dan menyediakan segala perkhidmatan sokongan agar dapat membantu pelajar menggunakan dengan berkesan(Rowntree,1992).


Kepentingan Kemudahan Sokongan Untuk Pelajar Program PJJ

Bahan Cetak
Pelajar program PJJ tidak dapat tidak memerlukan bantuan kemudahan sokongan untuk mendapatkan maklumat, membuat rujukan, berkomunikasi dengan pensyarah dan berbagai-bagai aktiviti lagi. Antara kemudahan sokongan yang paling asas ialah modul kendiri. Pelajar program PJJ selalunya mempunyai modul kendiri sebagai bahan asas pengajaran dan pembelajaran. Modul-modul ini yang dibahagikan kepada beberapa bahagian banyak membantu pelajar khususnya dalam membuat rujukan dan mengetahui skop pembelajaran mereka.
Kos pembinaan modul ini bukan kecil anak. Ianya memerlukan para ilmuan yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan yang tinggi. Penerbitannya memerlukan kos yang cukup besar. Namun dengan adanya modul ini amat berbaloi untuk pelajar selain buku-buku, jurnal dan majalah yang boleh diperoleh dari mana-mana perpustakaan ataupun pasaran.
Selain itu, buku panduan pelajar, perancangan akademik dan buletin yang dikeluarkan oleh para pensyarah dan pentadbiran universiti juga pastinya banyak membantu pelajar membuat perancangan dan pelan tindakan untuk mencapai cita-cita mereka menggenggam segulung ijazah.

Bahan Bukan Cetak
Selain daripada bahan cetak, bahan bukan cetak juga banyak membantu pelajar dalam mendalami ilmu pengetahuan mereka. Institusi penganjuran PJJ boleh menerbitkan bahan-bahan bukan cetak seperti diket dan cakera padat pembelajaran, serta bahan-bahan digital seperti bahan audio-visual. Bahan-bahan ini secara umumnya boleh digunakan sebagai asas untuk meningkatkan penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran. Apabila pelajar mendengar atau menonton bahan-bahan ini, mereka dapat menghubungkan apa yang dilihat dengan apa yang dipelajari di secara kendiri. Dengan cara ini pelajar dapat menyoal sumber maklumat yang disediakan untuk meningkatkan pemahaman mereka.

Adanya bahan-bahan seperti ini memudahkan pelajar untuk menerima arahan, mendapatkan maklumat dan menyelesaikan tugasan. Perlu diingat bahawa bahan-bahan ini mempunyai tempoh hayat yang panjang jika dijaga dan diuruskan dengan baik. Pelajar boleh mengulang main bahan yang dibekalkan dengan peralatan yang sesuai. Malah pelajar boleh membuat salinan pendua dengan kos yang tidak seberapa untuk memastikan bahan tersebut boleh digunakan untuk jangka masa yang lama.

Sidang Video dan Pusat Wilayah

Salah satu kemudahan sokongan yang menjadi semakin popular dan canggih pada hari ini ialah teletutorial. Di Universiti Sains Malaysia, sistem pengajaran perhubungan dua hala melalui teletutorial telah bermula pada bulan Ogos 1987, dan semenjak tahun 1995 dalam bentuk sidang video. Sistem ini merupakan interaksi dua hala di antara pensyarah dan pelajar dan juga pelajar dengan pelajar di pusat-pusat wilayah Semenanjung. Pelajar dari Sabah dan Sarawak akan mengikuti tutorial melalui video streaming. Kemudahan sokongan ini bukan sahaja banyak membantu pelajar malah dapat meringankan kos yang terpaksa ditanggung pelajar untuk ke siding tutorial di kampus-kampus induk pusat-pusat pengajian tinggi.

Komputer
PJJ merupakan sistem pendidikan yang menekan kepada konsep pendidikan sendiri, jadi di sini komunikasi amatlah perlu untuk melancarkan lagi proses ini. Komputer merupakan media penyampaian maklumat yang semakin pesat digunakan oleh institusi pengajian tinggi di seluruh dunia. Komputer mempunyai pelbagai fungsi, yang utama ialah sebagai wahana berkomunikasi, berinteraksi dan untuk memproses maklumat. Ia juga digunakan sebagai alat untuk membuat penyelarasan dengan berkesan ke atas maklumat yang diperolehi. Bagi sistem PJJ, komputer merupakan satu pilihan untuk merapatkan jurang pengasingan yang wujud antara pelajar dengan pelajar dan pelajar dengan pensyarah diperolehi dan menggalakkan pelajar untuk menganalisis maklumat yang diberi dan seterusnya dapat meningkatkan prestasi pelajar.

Portal E-Pembelajaran
Pelajar PJJ Universiti Sains Malaysia dibekalkan dengan portal pembelajaran elektronik yang dikenali sebagai e-Learning. Paling memberangsangkan ialah pelajar boleh berkomunikasi dengan pensyarah dan rakan-rakan sekuliah melalui portal ini. Sebarang perkembangan dan arahan-arahan terkini dimuatkan melalui portal ini. Dengan perkembangan industri jalur lebar ini, boleh dikatakan pelajar dapat mengakses maklumat dan berkomunikasi walau di mana mereka berada.

Perkhidmatan Kaunseling
Selain itu, kemudahan sokongan lain yang amat diperlukan agar pembelajaran dapat dilakukan dengan sempurna ialah perkhidmatan kaunseling kepada pelajar PJJ. Kaunseling kepada pelajar PJJ adalah perlu untuk membantu pelajar untuk menyesuaikan diri dengan kaedah PJJ dan memberi khidmat nasihat tentang perancangan serta strategi pembelajaran. Ia juga bertujuan untuk menangani sebarang masalah yang dihadapi samada masalah berbentuk akademik ataupun peribadi agar ia tidak berlanjutan dan menjejaskan prestasi pembelajaran pelajar.

Kesimpulan
Kerajaan sememangnya menitikberatkan sistem pendidikan di Malaysia samada ia berbentuk formal ataupun tidak formal. Pihak pengurusan universiti pula sentiasa cuba sedaya-upaya untuk meringankan beban dan kekangan pelajar.
Walau bagaimanapun, walau berapa banyak dan betapa canggih kemudahan sokongan yang disediakan oleh pihak pengurusan, sekiranya tidak dimanfaatkan oleh pelajar, semuanya sia-sia sahaja. Jadilah semua kemudahan sokongan itu seperti gajah putih. Oleh yang demikian pelajar perlu menguasai sedikit kemahiran asas yang diperlukan, khususnya kemudahan sokongan yang melibatkan teknologi maklumat dan komunikasi. Selain itu, pelajar perlu mempunyai inisiatif dan motivasi intrinsik yang tinggi kerana kejayaan seeorang pelajar PJJ ini banyak bergantung kepada kedua-dua faktor tersebut.