Selasa, Mei 13, 2008
Harga Yang Mahal Untuk Industri Sarang Burung
Industri sarang burung layang-layang begitu popular di Kelantan. Malah dikatakan industri ini antara cabang penting yang akan diperkembangkan melalui ECER. Lebih-lebih lagi, layang-layang yang singgah dan bersarang di negeri ini adalah spesis burung yang menghasilkan sarang yang paling bermutu dan mempunyai nilai komersial yang tinggi.
Di Kuala Krai, industri ini tidak terkecuali. Boleh dikatakan di setiap kawasan perumahan, khususnya lot-lot rumah kedai telah diubahsuai dan dijadikan sarang burung layang-layang. Malah ada di antara ahli-ahli perniagaan yang kaya-raya membina sarang-sarang ini di atas tanah lot hak milik sendiri. Kita dapat lihat di Bandar Kuala Krai, pekan Guchil, kawasan perumahan di Bukit Sireh dan lain-lain lagi.
Di Taman Sri Nal, Batu Jong tidak terkecuali. Lot kedai di taman yang hanya mengandungi 180 unit rumah ini telah dibeli oleh tauke dari Singapura melalui proksinya, tauke tempatan. Kesemua sembilan unit lot kedai dibeli oleh tauke ini. Cuma satu unit sahaja yang menjadi milik seorang peniaga kedai runcit yang membiasakan dirinya dengan panggilan Pak Mat. Khabarnya Pak Mat juga akan menjual lot rumah kedai miliknya ini kerana tidak sanggup dikelilingi oleh sarang burung sambil mendengar siulannya.
Ada sosek-sosek yang bertiup bahawa telah ada beberapa wakil dari pemimpin PAS setempat menghadap YAB Dato’ Tuan Guru Menteri Besar. Jawapan juga telah diberikan iaitu kerajaan tidak dapat berbuat apa-apa kerana inilah peluang untuk menarik pelaburan luar ke negeri Kelantan. Jawatankuasa permuafakatan penduduk juga telah mengambil tandatangan setiap penghuni taman dan membuat bantahan kepada Majlis Daerah Kuala Krai Utara atas alasan mengganggu ketenangan penduduk kerana taman ini terletak di kawasan perkampungan.. Namun sehingga hari ini, kerja-kerja pengubahsuaian masih berjalan dengan lancar.
Ramai penduduk berasa kesal kerana ia berlaku hanya sebulan selepas PRU-12 diadakan. Seolah-olah MDKKU mempermainkan sokongan rakyat kepada kerajaan mereka. Tambahan pula madrasah taman hanya terletak kira-kira 30 meter sahaja dari lot kedai itu, sudah tentu siulan kaset suara burung itu akan mengganggu para jemaah. Ada pihak mengatakan bahawa bunyi siulan kaset akan dimatikan sebelum malam sebab tiada burung yang datang pada waktu malam. Tetapi semalam, sewaktu selesai makan malam dengan kawan-kawan di Hotel Ansar-Garden, Kota Bharu, ( hadapan Bangunan PAS Negeri ) lebih kurang jam 10.30 malam, siulan kaset ini masih kedengaran walaupun sarangnya tidak kelihatan.
Mungkin ini antara harga yang mahal yang terpaksa dibayar demi untuk suatu pelaburan yang mana orang lain mengaut keuntungan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan