UMNO hari ini digembar-gemburkan sebagai parti belasahan yang terlalu lemah. Sudah menjadi lumrah dan kebiasaan jika UMNO dipukul oleh pakatan pembangkang kerana itulah hakikatnya peranan utama pembangkang di negara ini. Rakyat tidak akan berasa pelik jika UMNO dan tokoh-tokoh kepemimpinannya tidak pernah menerima sekelumit pujian daripada pembangkang kecuali selepas kematian.
Selain itu, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, UMNO juga dihentam dari dalam terutamanya oleh bekas negarawan ulung, Tun Dr Mahathir. Walaupun hari ini Tun telah keluar dari UMNO, pada saya Tun masih lagi menjadi orang dalam yang perlu dianggap sebagai aset yang amat penting. Saya berpendapat sedemikian kerana adalah amat mustahil bagi Tun untuk berkerat rotan berpatah arang dengan UMNO, parti yang telah diberikan nafas baru oleh beliau sendiri. Malah amat mustahil bagi Tun menubuhkan sebuah parti baru atau menyertai mana-mana parti pembangkang di negara ini.
Tidak terkecuali juga selepas PRU-12 baru-baru ini, UMNO mendapat pukulan daripada rakan-rakan yang masih tidur sebantal dengan UMNO dalam Barisan Nasional melalui kenyataan yang tidak memihak kepada UMNO oleh MCA dan tindakan menyertai Pakatan Rakyat oleh sebahagian kecil pimpinan Gerakan.
Semua ini telah memalitkan warna yang tidak ceria kepada UMNO sebagai parti yang memperjuangkan orang Melayu dan tonggak BN. Bertitik-tolak dari situ, UMNO terpaksa melakukan beberapa perubahan untuk mengembalikan sokongan rakyat. Sebahagian daripada tindakan itu dilihat sebagai merugikan orang Melayu sendiri yang masih lagi mendokong kuat UMNO.
Pada saya, prasyarat untuk melihat UMNO kembali gemilang di mata rakyat ialah penyatuan di kalangan pemimpin, bekas-bekas pemimpin dan ahli-ahlinya. UMNO mesti dilihat sebagai wadah perjuangan yang cukup teguh oleh pendokong-pendokongnya dan rakan-rakan komponennya yang bersama dalam BN. UMNO tidak boleh memberikan persepsi sebagai parti yang berpecah-belah sehingga menghakis keyakinan rakyat.
Selain itu pemimpin dan ahli-ahli UMNO perlu disuntik dengan roh perjuangan orang-orang Melayu yang sebenar. Semangat ini perlu ada dalam diri setiap orang yang mengaku UMNO dan menterjemahkannya menjadi satu realiti di mata rakyat. Hari ini, setiap ikrar dan janji yang dilafazkan oleh setiap peringkat kepemimpinan dilihat lebih sebagai lakonan dan main wayang kerana mereka telah gagal mengaplikasikannya dalam tindakan dan kehidupan sebenar rakyat.
UMNO juga telah diletakkan dalam posisi dan landasan yang cukup baik semenjak penubuhannya lagi. UMNO tidak perlu merombak atau meminda mana-mana dasar yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat. Juga tidak perlu merompak hak-hak sebahagian rakyat untuk diberikan kepada rakyat yang lain. Tinggal lagi bagaimana dasar-dasar yang telah dipersetujui bersama sekian lama ini dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat dan diwarnakan dengan lanskap yang baru agar sentiasa segar di mata rakyat.
Cuba kita renungkan sejenak peruntukan-peruntukan yang ada dalam perlembagaan dan dasar-dasar yang telah diwartakan melalui kementerian dan agensi-agensi kerajaan, adakah ia benar-benar telah membantu kebanyakan rakyat? Atau masih lagi seperti kata-kata Datuk Dr Noraesah Mohamad , AMT UMNO suatu ketika dulu, “Pepat di luar, rencong di dalam”?
Jangan UMNO cuba memberikan interpretasi kepada rakyat bahawa UMNO hanya milik golongan tertentu sahaja. Kalau dalam PRU-12 dulu paling ketara BN kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu, jangan pula dalam PRU-13 nanti, kerana terlalu asyik mengejar yang dah terlepas, yang dikendong pula berciciran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan