Berhijrah mencari rezeki di tempat orang sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat Kelantan. Tradisi ini bermula sejak awal tahun 1970an lagi. Pada ketika itu rakyat Kelantan begitu ghairah untuk bekerja di Singapura.
Hari ini Lembah Klang menjadi sasaran anak Kelantan mencari rezeki. Angka tidak rasmi menunjukkan bahawa kira-kira 400 ribu orang rakyat Kelantan yang berhijrah mencari pekerjaan di tempat orang.
Keadaan ini dapat diperjelaskan lagi dengan beratus-ratus trip bas dari Kelantan ke luar setiap hari dengan bermacam-macam jenama syarikat. Keretapi ekspres juga boleh dikatakan kerap sesak dengan penumpang. Pada musim perayaan pula, jalan raya di Kelantan menjadi amat sibuk sedangkan di Kuala Lumpur begitu lengang. Ramainya anak Kelantan di luar.
Mengapa fenomena ini berlaku? Jawapan paling utamanya ialah kerana peluang pekerjaan dalam bidang industri di Kelantan terlalu kecil. Peluang yang ada tidak dapat menampung keperluan guna tenaga yang ramai. Anak-anak muda hari ini sudah tidak lagi berminat untuk bergelumang di dalam lumpur menanam padi. Jauh sekali untuk bertepuk-tampar dengan nyamuk di kebun-kebun getah dan ladang-ladang kelapa sawit.
Mungkin pada usia muda, mereka masih gagah untuk berulang-alik ke kampung. Mungkin bagi mereka yang bertemu jodoh dan menetap di luar Kelantan bukan menjadi satu masalah. Bagaimana dengan mereka yang berpegang pada tekad walau ke mana mereka pergi, tanah airnya tetap di Kelantan? Dengan kata lain, akhirnya balik Kelantan juga. Golongan ini pada saya adalah majoriti dan mereka inilah yang perlu berfikir lebih jauh.
Persoalannya sampai bila fenomena ini akan terus berlarutan? Pemikiran rakyat Kelantan dikatakan unik terutamanya dalam politik. Malah juga dikatakan rakyat Kelantan adalah antara mereka yang rajin bekerja. Mengapa keunikan ini tidak dipergunakan untuk meningkatkan kebolehan diri.
Apa yang ingin disuarakan di sini ialah anak-anak muda ini perlu merebut peluang menceburi bidang kemahiran daripada berebut-rebut untuk bekerja kilang. Banyak peluang yang tersedia untuk golongan ini. Ambillah masa, paling lamapun mungkin dalam tiga tahun, terutamanya selepas alam persekolahan, untuk memasuki institusi yang menawarkan kursus-kursus kemahiran. Banyak institusi dan kursus yang ditawarkan terutamanya melalui MARA, Kolej Komuniti dan Kementerian Belia dan Sukan. Bangsa lain minta supaya dibuka peluang kemahiran kepada mereka dalam MARA, mengapa kita melepaskan peluang?
Berbagai-bagai kursus kemahiran, dengan bermacam-macam bantuan, sama ada ketika latihan mahupun selepas latihan, mengapa kita boleh mensia-siakan? Cuba kita toleh sekejap ke arah belia-belia Cina, mereka sanggup menghabiskan masa di bengkel-bengkel dan bermacam-macam bentuk premis milik kaum mereka untuk menimba ilmu dan kemahiran. Akhirnya mereka mampu menjadi usahawan, memiliki perniagaan sendiri.
Fikir-fikirlah bangsaku, jika kita ingin maju. Kita mesti ingat, jika kita makan gaji, terutamanya yang tidak seberapa, generasi kita terpaksa bermula dari awal semula untuk membina kerjaya diri. Tapi jika kita mempunyai perniagaan sendiri, zuriat kita boleh terus ambil alih pada tahap di mana kita berada apabila kita tua nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan