Sejarah mencatatkan bahawa orang Melayu pernah terkenal sebagai pedagang semasa pemerintahan kerajaan Melayu Melaka. Bangsa Melayu ini merupakan antara golongan pedagang yang berjaya selain pedagang-pedagang yang juga mubaligh-mubaligh Islam yang datang dari India dan tanah Arab.
Kedatangan Inggeris telah menyebabkan struktur masyarakat yang baru direka bentuk mengikut kaum. Kaum Melayu ditempatkan di kampung-kampung, imigran Cina ditempatkan di lombong-lombong bijih dan imigran India diletakkan di ladang-ladang mereka. Polarisasi kaum ini begitu menebal dan berterusan membelenggu masyarakat sehingga ke hari ini.
Hari ini lombong-lombong bijih telah bertukar menjadi bandaraya, dengan majoriti orang Cina tetap menjadi penghuni dan pemegang ekonominya. Dulunya pekan-pekan kecil yang didiami oleh orang Melayu juga bertukar menjadi bandar dengan orang Cina juga yang menghuninya. Manakala orang Melayu masih kekal di kampung-kampung dan orang India kebanyakannya masih tinggal di ladang-ladang.
Tak dapat tidak, pembangunan akan terus berlaku walaupun tanpa dirancang. Banyak sudah kampung-kampung kecil yang bertukar menjadi bandar. Malah wujud juga bandar-bandar satelit dan baru hasil daripada pembangunan jaringan jalan raya dan pertumbuhan pesat penduduk. Akhirnya orang Cina juga yang menetap di bandar-bandar ini sedangkan orang Melayu semakin ke pedalaman untuk mewujudkan kampung-kampung baru.
Mengapa fenomena ini berterusan sehingga seolah-olah tiada penghujungnya? Tulisan ini tidak bermaksud untuk mengapi-apikan sentimen perkauman di negara kita ini. Jauh sekali untuk merompak kekayaan yang setengah-setengah kaum miliki. Tetapi lebih kepada untuk memupuk sifat iri hati yang dibenarkan dalam Islam. Biar ada sifat iri hati untuk maju sebagai mana orang Cina boleh maju dengan cara bersama-sama bersaing secara sihat. Kalau mereka boleh menjadi tauke-tauke besar di bandar, mengapa kita tidak?
Orang kita perlu mengubah polarisasi kaum yang telah menjadi lambang kependudukan masyarakat majmuk negara kita setelah sekian lama ini. Kita mesti berhenti dari menjadi peneroka kampung-kampung baru. Sebaliknya kita perlu toleh ke belakang dan kembali ke bandar-bandar sebagai usahawan dalam pelbagai bidang. Kita perlu mengambil peluang dari kewujudan pusat-pusat perniagaan dan bandar-bandar baru. Kalau tidak, sampai bila-bilapun, nasib orang kita takkan berubah.
Untuk mencapai hasrat ini, asas yang paling utama ialah kita perlu mengubah set minda kita daripada kehidupan cara kampung kepada naluri ingin bersaing mengukuhkan ekonomi untuk memajukan diri. Selain itu, orang kita perlu menimba ilmu dan kemahiran serta mempelajari selok-belok perniagaan.
Rebut peluang untuk memiliki premis-premis perniagaan yang baru dibuka. Dari segi modal, rasanya bukan satu masalah yang besar sebab bukan hasrat kita untuk menjadi usahawan besar dalam sekelip mata. Biarlah kita berdikit-dikit sambil mencari pengalaman dan membudayakan diri dalam bidang perniagaan.
Kelebihan kuasa pengguna yang ada, tidak mustahil orang kita juga boleh berjaya. Ingat pesan baginda Rasulullah s.a.w bahawa satu persepuluh rezeki itu datangnya dari perniagaan. Tinggal lagi, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan