Yang Indah Itu Bahasa Yang Elok Itu Budi

Isnin, Jun 23, 2008

Apa salahnya mereka duduk semeja?

“Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar” (Surah al-Nisa’: ayat 114).

Beberapa media menyiarkan rayuan saya agar empat tokoh utama negara duduk semeja untuk berbincang atas semangat ukhuwwah islamiyyah (persaudaraan Islami) tentang masa depan umat Islam di negara ini khususnya dan juga masa depan rakyat keseluruhannya. Mereka ialah Tun Mahathir Mohammad, YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan YAB Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Siapa peduli?.....

Kebelakangan ini, begitu kerap agen-agen kempen dan calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding masuk dan keluar kampung. Mereka ini membawa hasrat untuk bertanding di pelbagai lapisan peringkat jawatan dalam UMNO. Maklumlah bermula Julai nanti, persidangan di peringkat cawangan akan berlangsung.

Warung-warung kopi sedang diceriakan dengan kempen-kempen pemain politik. Agen-agen dan calon-calon begitu ghairah berkempen untuk melebarkan pengaruh dan mendapatkan pencalonan dalam persidangan cawangan nanti. Lebih-lebih lagi MT telah menetapkan larangan mengadakan sebarang majlis jamuan dan keramaian selepas 1 Julai nanti. Kesempatan yang ada ini digunakan dengan sebaik mungkin bagi memastikan calon-calon akan mendapat pencalonan yang secukupnya dalam memastikan mereka layak bertanding. Tak kurang juga mereka yang menawarkan diri di peringkat MT dan sayap=sayap tertinggi parti.

Memang dalam tempoh sebulan lalu, kempen-kempen ini mula kelihatan begitu hebat dan sengit. Warung-warung kopi dipenuhi oleh pemain politik sampai pagi. Rumah-rumah pemimpin di peringkat cawangan pula sentiasa dikunjungi. Walau bagaimanapun, sebenarnya kempen-kempen ini telah bermula sejak selepas PRU-12 baru-baru ini. Malah ada yang mengambil kesempatan dengan cara yang tidak amanah dengan memburuk-burukkan calon sendiri dan berkempen untuk tidak mengundi calon-calon parti semasa PRU-12 lagi.

Semasa Parlimen dibubarkan baru-baru ini, dapat dilihat dengan jelas tiada gerakan kempen secara bersungguh-sungguh untuk calon UMNO. Sampailah kepada hari penamaan calon, masih belum ada tanda-tanda dan semangat bekerja untuk UMNO berbanding dengan semangat yang ditunjukkan oleh penyokong-penyokong PAS.

Bilik Gerakan tidak dibuka. Jika adapun dibuka dalam keadaan tidak bersedia. Jentera-jentera kanan entah di mana, maklumat-maklumat berkaitan pilihanraya tidak dikemas kini. Logistik terlalu lembab. Kalaulah pemimpin-pemimpin UMNO membuat persiapan lebih awal dan bersedia menghadapi peperangan sebagaimana mereka bekerja untuk pemilihan di peringkat bahagian, mungkin keputusan PRU-12 lain jadinya.

Tapi itulah hakikatnya. Jawatan di peringkat bahagian jauh lebih penting bagi mereka berbanding kemenangan dalam pilihanraya. Jauh sekali untuk memikirkan nasib umat Melayu yang sedang diasak hari ini. Apa lagi untuk memikirkan nasib generasi untuk sepuluh atau lima belas tahun akan datang.

Di mana silapnya? Siapa peduli Melayu hilang negeri? Siapa peduli ada MP tolak jawatan timbalan menteri? Siapa peduli dengan tuntutan IFC? Siapa peduli Theresa Kok minta wujudkan perkampungan cina sendiri walaupun ketika berada di bandar-bandar negara inipun sudah seolah-olah berada di Beijing? Siapa peduli Selangor dapat kandang babi yang diternak untuk dieksport ke luar negeri? Siap peduli Ronnie Liu minta supaya peruntukan agama diagihkan sama rata baru-baru ini? Siapa peduli seruan supaya pemimpin-pemimpin Melayu duduk semeja untuk berbincang masa depan umat yang disarankan mufti? Siapa peduli Paklah nak dibawa usul undi tak percaya oleh parti Yong Teck Lee?

UMNO perlu kembali menjadi parti orang kampung bukan parti kampungan atau mungkin terlalu elit seperti hari ini. Kembali kepada corak dan iltizam perjuangan orang-orang dahulu. Hayati roh perjuangan mereka. Rakyat terbanyak ingin melihat mereka menjadi pemimpin rakyat di semua peringkat, bukan sahaja di pusat, malah di akar umbi. Kita bimbang undi yang terlepas sehinggakan Melayu kehilangan negeri tak akan dapat kembali. Kalau PRU-12 Melayu sudah kehilangan negeri, PRU-13 nanti harapnya dapat kembali beberapa negeri. Jangan pula ada tambahan lagi.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak undi lima tahun pulak baru peluang diberi.

Rabu, Jun 11, 2008

MENAMBAHKAN PERUNTUKAN BAGI RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius laporan akhbar (The Star m/s N18 dan Akhbar SinarHarian, Sabtu 8 Jun 2008) yang melaporkan kenyataan YB Dr. Xavier Jayakumar dan YB Ronnie Liu berkenaan cadangan yang akan diusulkan untuk menghapuskan syarat had keluasan rumah ibadat bukan Islam seperti yang termaktub dalam undang-undang PBT. Selain itu turut dilaporkan ialah cadangan penambahan peruntukan dan jumlah rumah ibadat bukan Islam yang didakwa tidak mencukupi. ABIM menegaskan bahawa:
1. Kerajaan Negeri Selangor perlu mengambil kira faktor kewujudan terlalu banyak rumah-rumah ibadat yang dibina di atas tanah-tanah kerajaan atau persendirian tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Oleh kerana rumah-rumah ibadat ini dibina di atas tanah-tanah yang bernilai komersial tinggi, masalah perobohan akan timbul apabila tanah-tanah tersebut ingin dibangunkan. Untuk mengelakkan masalah berkaitan rumah ibadat bertambah rumit, kerajaan negeri Selangor sepatutnya memastikan tiada lagi rumah-rumah ibadat baru yang dibina di atas tanah-tanah kerajaan atau persendirian tanpa kebenaran PBT.

2. Sebarang perubahan syarat pembinaan rumah-rumah ibadat bukan Islam juga perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat terutamanya komuniti Islam. Komposisi penduduk sesuatu kawasan adalah faktor utama yang perlu diberi perhatian. Jawatankuasa Penduduk/ Persatuan Penduduk dan NGO-NGO Islam khususnya perlu dibawa berunding terlebih dahulu sekiranya pembinaan rumah ibadat bukan Islam melibatkan kawasan berpenduduk majoriti Islam.

3. Akhir-akhir ini wujud kecenderungan pihak-pihak tertentu untuk mewajarkan penambahan peruntukan bagi pembinaan rumah-rumah ibadat bukan Islam atas alasan masyarakat Islam di negara ini menerima peruntukan yang besar untuk membina masjid dan surau. ABIM menegaskan bahawa umat Islam mempunyai keperluan tersendiri terhadap masjid dan surau kerana kewajipan umat Islam untuk menunaikan solat 5 kali sehari dan solat Jumaat secara berjamaah. Selain itu peruntukan besar kepada masjid dan surau diperolehi melalui konsep zakat yang wujud dalam Islam dan hak-hak yang jelas diperuntukan oleh perlembagaan. Kebanyakan surau juga dibina hasil daripada pungutan derma ahli-ahli kariah dan bukannya peruntukan kerajaan.Kajian yang dilakukan oleh ABIM bersama beberapa pihak pada akhir tahun 2007 mendapati bahawa jumlah rumah ibadat bukan Islam di Lembah Klang adalah jauh melebihi jumlah masjid dan surau. Pandangan bahawa jumlah masjid dan surau melebihi jumlah rumah-rumah ibadat bukan Islam adalah tidak benar.

4. ABIM juga menegaskan bahawa sebarang perubahan yang hendak dibuat perlu mengambil kira Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan lain berhubung dengan status Islam yang perlu diberi keutamaan. Namun demikian hal ini tidak menafikan hak dan keperluan masyarakat bukan Islam terhadap rumah-rumah ibadat.
Oleh yang demikian sebelum sebarang perubahan hendak dibuat terhadap peraturan dan undang-undang PBT haruslah dijalankan melalui kajian terperinci dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

ABIM dalam hal ini tidak menafikan hak-hak bukan Islam dan semangat toleransi antara kaum, namun sewajarnya sebarang tindakan tersebut perlu dilaksanakan dengan penuh berhikmah berasaskan semangat toleransi, prinsip-prinsip perlembagaan dan keadilan sosial tanpa menafikan hak-hak dan sensitiviti majoriti umat Islam di Malaysia.
KHAIRUL ARIFIN MOHD MUNIR
SETIAUSAHA AGUNG ABIM

Selasa, Jun 10, 2008

Pembangunan Menghambat Orang Melayu?

Sejarah mencatatkan bahawa orang Melayu pernah terkenal sebagai pedagang semasa pemerintahan kerajaan Melayu Melaka. Bangsa Melayu ini merupakan antara golongan pedagang yang berjaya selain pedagang-pedagang yang juga mubaligh-mubaligh Islam yang datang dari India dan tanah Arab.

Kedatangan Inggeris telah menyebabkan struktur masyarakat yang baru direka bentuk mengikut kaum. Kaum Melayu ditempatkan di kampung-kampung, imigran Cina ditempatkan di lombong-lombong bijih dan imigran India diletakkan di ladang-ladang mereka. Polarisasi kaum ini begitu menebal dan berterusan membelenggu masyarakat sehingga ke hari ini.

Hari ini lombong-lombong bijih telah bertukar menjadi bandaraya, dengan majoriti orang Cina tetap menjadi penghuni dan pemegang ekonominya. Dulunya pekan-pekan kecil yang didiami oleh orang Melayu juga bertukar menjadi bandar dengan orang Cina juga yang menghuninya. Manakala orang Melayu masih kekal di kampung-kampung dan orang India kebanyakannya masih tinggal di ladang-ladang.

Tak dapat tidak, pembangunan akan terus berlaku walaupun tanpa dirancang. Banyak sudah kampung-kampung kecil yang bertukar menjadi bandar. Malah wujud juga bandar-bandar satelit dan baru hasil daripada pembangunan jaringan jalan raya dan pertumbuhan pesat penduduk. Akhirnya orang Cina juga yang menetap di bandar-bandar ini sedangkan orang Melayu semakin ke pedalaman untuk mewujudkan kampung-kampung baru.

Mengapa fenomena ini berterusan sehingga seolah-olah tiada penghujungnya? Tulisan ini tidak bermaksud untuk mengapi-apikan sentimen perkauman di negara kita ini. Jauh sekali untuk merompak kekayaan yang setengah-setengah kaum miliki. Tetapi lebih kepada untuk memupuk sifat iri hati yang dibenarkan dalam Islam. Biar ada sifat iri hati untuk maju sebagai mana orang Cina boleh maju dengan cara bersama-sama bersaing secara sihat. Kalau mereka boleh menjadi tauke-tauke besar di bandar, mengapa kita tidak?

Orang kita perlu mengubah polarisasi kaum yang telah menjadi lambang kependudukan masyarakat majmuk negara kita setelah sekian lama ini. Kita mesti berhenti dari menjadi peneroka kampung-kampung baru. Sebaliknya kita perlu toleh ke belakang dan kembali ke bandar-bandar sebagai usahawan dalam pelbagai bidang. Kita perlu mengambil peluang dari kewujudan pusat-pusat perniagaan dan bandar-bandar baru. Kalau tidak, sampai bila-bilapun, nasib orang kita takkan berubah.

Untuk mencapai hasrat ini, asas yang paling utama ialah kita perlu mengubah set minda kita daripada kehidupan cara kampung kepada naluri ingin bersaing mengukuhkan ekonomi untuk memajukan diri. Selain itu, orang kita perlu menimba ilmu dan kemahiran serta mempelajari selok-belok perniagaan.

Rebut peluang untuk memiliki premis-premis perniagaan yang baru dibuka. Dari segi modal, rasanya bukan satu masalah yang besar sebab bukan hasrat kita untuk menjadi usahawan besar dalam sekelip mata. Biarlah kita berdikit-dikit sambil mencari pengalaman dan membudayakan diri dalam bidang perniagaan.

Kelebihan kuasa pengguna yang ada, tidak mustahil orang kita juga boleh berjaya. Ingat pesan baginda Rasulullah s.a.w bahawa satu persepuluh rezeki itu datangnya dari perniagaan. Tinggal lagi, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Khamis, Jun 05, 2008

Anwar Ibrahim: Dari pejuang Islam ke pejuang sekular

Dilulus terbit pada Thursday, June 05 @ 10:22:42 MYT oleh reformis
Artikel Oleh ahmadhadeed

"
Memikirkan ketentuan Allah kepada hambanya membuat saya banyak berdoa dan pasrah kepada Allah. Anwar adalah penasihat parti PKR dan tiada yang boleh menyangkal bahawa PKR adalah parti sekular yang tidak mempunyai dasar yang meletakkan Quran dan Sunnah sebagai rujukan. Keahlian dan kepimpinan PKR juga berbagai, dari paderi kristian sehingga kepada pejuang murtad. Mungkin orang PAS marah dengan tulisan saya tetapi saya ingin menulis perkara yang haq supaya kita tidak terkeliru dengan batil.Soal pakatan pembangkang di bawah Tahallul Siasi di haruskan mengikut pendapat ulama pas. Sebab itu lah pas bertahallul dengan pkr, dap, semangat 46 dan umno zaman dahulu.


Mengata PKR parti sekular tidak lah menghinakan kerana itulah dasar mereka. Malah ada ahli dan pemimpin PKR mahu mempertahankan sekularisme nya kerana itu lah pokok penyatuan mereka. Anwar tidak di paksa menukar perjuangan dari pemimpin besar Islam zaman 80an kepada pemimpin besar parti sekular PKR sekarang. Itu sudah menjadi ketentuan Allah.


Masa saya berada di alam sekolah menengah saya adalah peminat penerbitan ABIM Al Risalah. Sungguh hebat penerbitan itu. Di dalam Al Risalah lah saya bertemu dengan nama Hassan Al banna dan Syed Qutb. Ada satu lagi majallah , kalau tak silap Dewan Ummah yang juga cukup hebat. Majallah ini merupakan terbitan rencana Islam yang juga hebat berkaitan masaalah ummah sejagat. Dari situ saya mengenali ungkapan ' Islam Syumul dan Islam Cara Hidup. Siapa kah pemimpin gelombang kebangkitan Islam ini. Tidak lain tidak bukan Anwar Ibrahim.


Apabila berada di luar negeri saya bertolak dari selatan ke Manchester untuk menghadiri majlis akad nikah Anwar dan Kak Zah. Hebat sekali . Saya pun tak dapat melihat kedua mempelai kerana terlalu ramai orang yang hadir.Saya juga bertemu dengan kawan saudara Anwar yang hebat Ustaz immanudin dari Bandung. Saya masih mengingat ceramah Ustaz Pak Imat dan dia memegang Quran kecil. Beliau berkata kepada kami, ingat ini adalah kitab Allah dan inilah pedoman kita. Bawalah ia di mana saja dalam poket, baca lah ia, fahami maana nya dan amalkan apa yang di suruh oleh Allah. Perkataan itu saya ingat sampai sekarang.Itulah hebat nya Anwar pada zaman itu. Seorang pejuang Islam.


Anwar mula meninggalkan perjuangan Islam Al deen apabila beliau masuk UMNO. Masa itu tahun 80 an , PAS sangat kuat dengan pengaruh hebat Allah yarham Ustaz Fadhil. Adik ustaz fadhil Kak Lah juga seorang pejuang.Saya masih ingat kaset ustaz fadhil cerita tentang mahathir naik gajah. Sunguh hebat Allahyarham ustaz fadhil. Mungkin kerana kekuatan PAS yang begitu kuat memegang perjuangan Islam al deen maka Mahathir menjemput Anwar masuk UMNO. Selepas itu untuk meyakinkan orang awam kesetian Anwar pada UMNO , Anwar sentiasa mengecam PAS di pentas dan semasa belanjawan di Parlimen. Antara unkapan sinis terhadap PAS ialah Pembangkang Tanpa Faedah. Dia bercakap tentang PERBANKAN tetapi dia buat tersasul untuk perli PAS. masa itu Anwar Menteri Kewangan malaysia.



Sekarang Anwar jadi Raja Pembankang dan kalau kita ambil kata kata nya duli sekarang makna Anwar adalah Raja Pemangkang Tanpa Faedah. Walau bagaimanapun itu cerita lama sebagai nostalgic bagaimana seorang boleh berubah rubah.
Apabila Mahathir sudah merasa Anwar telah merancang untuk menjatuhkan nya maka Mahathir yang sangat sekular itu telah memecat Anwar dengan fitnah liwat dan berzina. Sungguh hina Anwar masa itu. Saya pun menyembunyikan akbar utusan malaysia dari anak saya kerana utusan Malaysia pada hari itu melapor dengan detail kemasukan kemaluan dalam dubur seseorang. Saya tak dapat bayangkan betapa malunya keluarga anwar dan familinya di buat oleh Mahathir tetapi inilah politik. Ada yang di ISA ada yang di fitnah. Semuanya lumrah politik malaysia.



Selepas di penjara, ramai ahli PAS menggangap Anwar akan masuk pas atau masuk abim namun tekaan itu meleset. Anwar meneruskan perjuangan isteri dan kawan kawan umnonya untuk memperkuatkan parti keadilan PKR yang boleh katergorikan parti sekular dan ahli PKR terbuka kepada semua tanpa mengira rekod politik atau social. Paderi, aktiis murtad, atheisit, liberal semua boleh masuk. Lebih kurang macam Northern Alliance aghanistan semasa usa menyerang afghanistan selepas 911. Terdapt juga unsur parti kekeluargaan macam parti Buttho Pakistan apabila tiga keluarga anwar menang pru12.
Sekarang Anwar sudah termashur dan mendapat restu dari USA , Arab , Turki dan negara sekular lain dan kerap kali Anwar menggelarkan dirinya PM in waiting. Namun dalam kehebatan Anwar yang bila bila masa di katakan akan jadi PM, ramai ahli PKR keluar PKR. Kita pun tak tahu apa sebabnya dan adakah benar ada 30 orang akan menyeberang dari Sabah dan Sarawak.



Anwar sekarang bukan lagi pejuang Islam Syumul, pejuang negara islam atau Islam al deen tetapi pejuang gagasan sama rata sama rasa 'Malaysian malaysia' dan bercita cita mahu menghapus DEB, social contract dan perkara perkara lain berkaitan orang Melayu dan Muslim.



Itulah kisah perjuangan seorang anak muda dari Kedab yang bertenaga tinggi Anwar ibrahim. Politik semasa begitu dinamik dan kita tidak tahu apa kah penghujung perjuangan anwar ibrahim.

Rabu, Jun 04, 2008

Antara latihan kemahiran dan kerja kilang

Berhijrah mencari rezeki di tempat orang sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat Kelantan. Tradisi ini bermula sejak awal tahun 1970an lagi. Pada ketika itu rakyat Kelantan begitu ghairah untuk bekerja di Singapura.

Hari ini Lembah Klang menjadi sasaran anak Kelantan mencari rezeki. Angka tidak rasmi menunjukkan bahawa kira-kira 400 ribu orang rakyat Kelantan yang berhijrah mencari pekerjaan di tempat orang.

Keadaan ini dapat diperjelaskan lagi dengan beratus-ratus trip bas dari Kelantan ke luar setiap hari dengan bermacam-macam jenama syarikat. Keretapi ekspres juga boleh dikatakan kerap sesak dengan penumpang. Pada musim perayaan pula, jalan raya di Kelantan menjadi amat sibuk sedangkan di Kuala Lumpur begitu lengang. Ramainya anak Kelantan di luar.

Mengapa fenomena ini berlaku? Jawapan paling utamanya ialah kerana peluang pekerjaan dalam bidang industri di Kelantan terlalu kecil. Peluang yang ada tidak dapat menampung keperluan guna tenaga yang ramai. Anak-anak muda hari ini sudah tidak lagi berminat untuk bergelumang di dalam lumpur menanam padi. Jauh sekali untuk bertepuk-tampar dengan nyamuk di kebun-kebun getah dan ladang-ladang kelapa sawit.

Mungkin pada usia muda, mereka masih gagah untuk berulang-alik ke kampung. Mungkin bagi mereka yang bertemu jodoh dan menetap di luar Kelantan bukan menjadi satu masalah. Bagaimana dengan mereka yang berpegang pada tekad walau ke mana mereka pergi, tanah airnya tetap di Kelantan? Dengan kata lain, akhirnya balik Kelantan juga. Golongan ini pada saya adalah majoriti dan mereka inilah yang perlu berfikir lebih jauh.

Persoalannya sampai bila fenomena ini akan terus berlarutan? Pemikiran rakyat Kelantan dikatakan unik terutamanya dalam politik. Malah juga dikatakan rakyat Kelantan adalah antara mereka yang rajin bekerja. Mengapa keunikan ini tidak dipergunakan untuk meningkatkan kebolehan diri.

Apa yang ingin disuarakan di sini ialah anak-anak muda ini perlu merebut peluang menceburi bidang kemahiran daripada berebut-rebut untuk bekerja kilang. Banyak peluang yang tersedia untuk golongan ini. Ambillah masa, paling lamapun mungkin dalam tiga tahun, terutamanya selepas alam persekolahan, untuk memasuki institusi yang menawarkan kursus-kursus kemahiran. Banyak institusi dan kursus yang ditawarkan terutamanya melalui MARA, Kolej Komuniti dan Kementerian Belia dan Sukan. Bangsa lain minta supaya dibuka peluang kemahiran kepada mereka dalam MARA, mengapa kita melepaskan peluang?

Berbagai-bagai kursus kemahiran, dengan bermacam-macam bantuan, sama ada ketika latihan mahupun selepas latihan, mengapa kita boleh mensia-siakan? Cuba kita toleh sekejap ke arah belia-belia Cina, mereka sanggup menghabiskan masa di bengkel-bengkel dan bermacam-macam bentuk premis milik kaum mereka untuk menimba ilmu dan kemahiran. Akhirnya mereka mampu menjadi usahawan, memiliki perniagaan sendiri.

Fikir-fikirlah bangsaku, jika kita ingin maju. Kita mesti ingat, jika kita makan gaji, terutamanya yang tidak seberapa, generasi kita terpaksa bermula dari awal semula untuk membina kerjaya diri. Tapi jika kita mempunyai perniagaan sendiri, zuriat kita boleh terus ambil alih pada tahap di mana kita berada apabila kita tua nanti.

Selasa, Jun 03, 2008

Mampukah UMNO.......

UMNO hari ini digembar-gemburkan sebagai parti belasahan yang terlalu lemah. Sudah menjadi lumrah dan kebiasaan jika UMNO dipukul oleh pakatan pembangkang kerana itulah hakikatnya peranan utama pembangkang di negara ini. Rakyat tidak akan berasa pelik jika UMNO dan tokoh-tokoh kepemimpinannya tidak pernah menerima sekelumit pujian daripada pembangkang kecuali selepas kematian.

Selain itu, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, UMNO juga dihentam dari dalam terutamanya oleh bekas negarawan ulung, Tun Dr Mahathir. Walaupun hari ini Tun telah keluar dari UMNO, pada saya Tun masih lagi menjadi orang dalam yang perlu dianggap sebagai aset yang amat penting. Saya berpendapat sedemikian kerana adalah amat mustahil bagi Tun untuk berkerat rotan berpatah arang dengan UMNO, parti yang telah diberikan nafas baru oleh beliau sendiri. Malah amat mustahil bagi Tun menubuhkan sebuah parti baru atau menyertai mana-mana parti pembangkang di negara ini.

Tidak terkecuali juga selepas PRU-12 baru-baru ini, UMNO mendapat pukulan daripada rakan-rakan yang masih tidur sebantal dengan UMNO dalam Barisan Nasional melalui kenyataan yang tidak memihak kepada UMNO oleh MCA dan tindakan menyertai Pakatan Rakyat oleh sebahagian kecil pimpinan Gerakan.

Semua ini telah memalitkan warna yang tidak ceria kepada UMNO sebagai parti yang memperjuangkan orang Melayu dan tonggak BN. Bertitik-tolak dari situ, UMNO terpaksa melakukan beberapa perubahan untuk mengembalikan sokongan rakyat. Sebahagian daripada tindakan itu dilihat sebagai merugikan orang Melayu sendiri yang masih lagi mendokong kuat UMNO.

Pada saya, prasyarat untuk melihat UMNO kembali gemilang di mata rakyat ialah penyatuan di kalangan pemimpin, bekas-bekas pemimpin dan ahli-ahlinya. UMNO mesti dilihat sebagai wadah perjuangan yang cukup teguh oleh pendokong-pendokongnya dan rakan-rakan komponennya yang bersama dalam BN. UMNO tidak boleh memberikan persepsi sebagai parti yang berpecah-belah sehingga menghakis keyakinan rakyat.

Selain itu pemimpin dan ahli-ahli UMNO perlu disuntik dengan roh perjuangan orang-orang Melayu yang sebenar. Semangat ini perlu ada dalam diri setiap orang yang mengaku UMNO dan menterjemahkannya menjadi satu realiti di mata rakyat. Hari ini, setiap ikrar dan janji yang dilafazkan oleh setiap peringkat kepemimpinan dilihat lebih sebagai lakonan dan main wayang kerana mereka telah gagal mengaplikasikannya dalam tindakan dan kehidupan sebenar rakyat.

UMNO juga telah diletakkan dalam posisi dan landasan yang cukup baik semenjak penubuhannya lagi. UMNO tidak perlu merombak atau meminda mana-mana dasar yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat. Juga tidak perlu merompak hak-hak sebahagian rakyat untuk diberikan kepada rakyat yang lain. Tinggal lagi bagaimana dasar-dasar yang telah dipersetujui bersama sekian lama ini dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat dan diwarnakan dengan lanskap yang baru agar sentiasa segar di mata rakyat.

Cuba kita renungkan sejenak peruntukan-peruntukan yang ada dalam perlembagaan dan dasar-dasar yang telah diwartakan melalui kementerian dan agensi-agensi kerajaan, adakah ia benar-benar telah membantu kebanyakan rakyat? Atau masih lagi seperti kata-kata Datuk Dr Noraesah Mohamad , AMT UMNO suatu ketika dulu, “Pepat di luar, rencong di dalam”?

Jangan UMNO cuba memberikan interpretasi kepada rakyat bahawa UMNO hanya milik golongan tertentu sahaja. Kalau dalam PRU-12 dulu paling ketara BN kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu, jangan pula dalam PRU-13 nanti, kerana terlalu asyik mengejar yang dah terlepas, yang dikendong pula berciciran.