Masalah air bersih yang dihadapi oleh sebahagian besar rakyat Kelantan akan dijadikan agenda utama dalam perjuangan UMNO Kelantan membela nasib rakyat jika diberi peluang memerintah Kelantan pada PRU-13 kelak. Pastinya masalah air ini akan menjadi salah satu daripada manifesto pilihanraya BN dalam PRU-13 nanti.
Sekian lama masalah ini berlarutan. Kalau di Kuala Krai, premis yang menerima bekalan air dari loji Kg Pahi cukup-cukup bermasalah. Loji ini membekalkan air ke premis sepanjang Jalan Kuala Krai-Gua Musang dan di bahagian utara Kuala Krai seperti Kg Batu Jong, Bukit Sireh, Kuala Nal, Keroh dan Telekong. Boleh dikatakan ada saja bekalan air terputus. Belum lagi mengambil kira tekanan yang terlalu perlahan. Kadang-kadang sampai tiga hari paip tidak berair. Kemudian ada dan putus balik, Mentang-mentanglah kerajaan bulan, air paippun macam 'datang bulan'. Bagi sebuah keluarga yang besar, tangki yang dipasang pada rumah selalunya cukup untuk menampung keperluan air untuk sehari sahaja. Bagaimana pula bagi rumah-rumah kediaman orang-orang kampung yang tidak bertangki?
Bermacam-macam alasan diberi oleh AKSB. Masalah bekalan elektrik, masalah loji rosak, paip utama pecah dan sebagainya. Ada juga kedengaran bahawa prasarana air yang dibina dahulu sudah tidak cukup untuk menampung keperluan penduduk yang bertambah berkali ganda pada hari ini. Khabarnya masalah ini akan menjadi lebih serius apabila Taman Perisai Wira, sebuah kawasan perumahan baru di Jalan Kuala Krai-Gua Musang mula diduduki oleh pemiliknya.
Kalau di Batu Jong dan beberapa buah kampung kecil di sekitarnya tu, Sungai Nal yang direntangi oleh jambatan sebagaimana kepala blog inilah yang akan menjadi sasarannya. Air yang jarang sekali jernih terpaksa dihirup, dijadikan air mandian dan basuhan penduduk.
Ada suara-suara sumbang blog pembangkang yang mengutuk Datuk Dr Awang Adek yang mengharapkan kemenangan BN dalam PRU-13 nanti untuk membantu rakyat Kelantan. Mengapa sampai tunggu menang baru nak bantu?
Dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan beliau semata-mata. Rakyat nak juga tahu apa yang telah dilakukan oleh pemerintah Kelantan hari ini untuk mengatasi masalah ini. Tanyalah Ustaz Nasaruddin apa yang telah dibuat untuk membantu rakyat dalam masalah ini. Kalau di Kuala Krai tu kenalah tanya YB Dr Hatta Ramli yang jarang benar ada dalam kawasan. Paling tidak, kena tanya Mat Sabu sebab saya sendiri pernah dengar Mat Sabu ceramah suatu ketika dahulu di padang sebelah Dewan Majlis Daerah Kuala Krai bahawa rakyat bawah BN ni dok bayar bil air dan angin sebab apabila buka paip, angin yang keluar. Takkanlah hentam orang saja yang tahu kot. Lebih-lebih lagi dengan slogan ‘Negara Berkebajikan’ dan dengan kemenangan 5-0 di Kuala Krai, pastinya keperluan rakyat terbanyak mesti diutamakan. Atau nak tunggu dapat rampas kerajaan pusat baru nak bantu? Macam nak buat yang lain-lain tu….
Tiada ulasan:
Catat Ulasan