Yang Indah Itu Bahasa Yang Elok Itu Budi

Isnin, Julai 14, 2008

Dimensi baru politik Melayu

Akhirnya desas-desus yang mengatakan bahawa ada perjumpaan atau perbincangan di antara pemimpin PAS dengan pemimpin UMNO terungkai sudah apabila Perdana Menteri dan Tuan Guru Presiden PAS sendiri mengesahkan perkara tersebut. Soal individu tertentu atau kumpulan tertentu yang mengadakan pertemuan tersebut tidak timbul. Pastinya pertemuan itu mendapat restu daripada pucuk pimpinan kedua-dua parti itu sendiri.

Setelah beberapa desakan timbul dari NGO Melayu dan ulama-ulama bukan partisan yang menuntut supaya adanya usaha untuk menyatukan parti-parti Melayu dan Islam, akhirnya kedua-dua belah pihak mula membuka mata.

Dalam menegakkan perjuangan agama dan umat ini, usahlah PAS mendabik dada mengatakan bahawa parti itu semakin kuat dan mula diterima oleh masyarakat Malaysia
dan pada masa yang sama beranggapan bahawa UMNO parti yang menunggu masa untuk ditalkinkan. Begitu juga dengan UMNO tidak boleh menganggap bahawa kekuatan parti itu mula meningkat dengan perkembangan mutakhir ini. Kedua-dua parti ini perlu memandang lebih jauh ke depan dan melihat pelbagai bentuk ancaman yang mungkin boleh mengganggu gugat ummah.

PAS perlu sedar bahawa perjuangan mereka untuk menegakkan negara Islam tidak akan ke mana apabila berada di dalam Pakatan Rakyat. Lebih-lebih lagi kenyataan demi kenyatan yang dikeluarkan oleh sahabat-sahabat mereka dari PKR dan DAP yang dengan jelas menolak pembentukan negara Islam. Keadaan menjadi lebih rumit apabila kehadiran PAS hanya dianggap sebagai melukut di tepi gantang dan banyak tindakan yang diambil tanpa mengambil kira sensitiviti ahli dan penyokong PAS menyebabkan hati mereka semakin membengkak. Sedangkan UMNO hanya sekadar berdolak-dalik dengan alasan masa dan kemampuan.

Apa lagi yang umat Melayu boleh banggakan selain daripada penyatuan dan kerjasama kedua-dua parti Melayu dan Islam ini. Satu parti berjuang untuk memartabatkan bangsanya manakala satu lagi parti yang berjuang untuk mendaulatkan Islam. Bayangkan betapa indahnya jika kedua-dua parti itu dapat menjalinkan kerjasama.

Ini adalah masa yang paling sesuai bagi PAS untuk mengekalkan kuasa yang ada dan menterjemahkan perjuangan mereka dalam kerajaan Persekutuan. Mungkin PAS boleh meminta agar kerusi yang telahpun menjadi milik mereka supaya terus dikekalkan. Kalau ada perubahanpun, mungkin hanya dalam peratus yang amat kecil. Sedangkan pada masa yang sama PAS boleh meminta untuk mendapatkan peruntukan kerusi yang baru di tempat-tempat lain.

Impak yang paling besar dalam kerjasama ini ialah pembentukan dua buah kerajaan negeri Melayu-Islam yang baru iaitu di Selangor dan Perak. Dengan jumlah kerusi yang dimiliki oleh kedua-dua parti tersebut, mereka mampu membentuk sebuah kerajaan baru di kedua-dua negeri itu tanpa mengharapkan ihsan orang lain.

Mesej yang paling besar kepada kerjasama ini ialah kita dapat buktikan bahawa orang-orang Melayu-Islam masih lagi boleh bersatu jika mereka berasa terancam. Allahu Akbar. Semoga akan ada siri-siri pertemuan di antara pemimpin kedua-dua parti tersebut. Akhirnya impian kebanyakan rakyat Melayu yang ingin melihat Melayu bersatu menjadi kenyataan. InsyaAllah.

1 ulasan:

infogue berkata...

artikel anda :

http://berita-politik-dunia.infogue.com/
http://berita-politik-dunia.infogue.com/dimensi_baru_politik_melayu

jadikan artikel anda yang terpopuler dan terbaik di www.infogue.com